KUCHING: Kerajaan Sarawak mengiktiraf tekstil tempatan sebagai salah satu pemain utama dalam strategi ekonomi dengan tumpuan khusus diberikan kepada Songket Sarawak dan Keringkam.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, domain tekstil telah berkembang jauh di Borneo, khususnya di Sarawak.
“Kerajaan Sarawak menyanjung tinggi industri tekstil. Ia mempunyai banyak potensi untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan mata pencarian negeri ini.
“Songket adalah bahan cantik yang ditenun menggunakan teknik tenunan tersendiri, berasaskan pengiraan, manakala keringkam mempunyai sejarah yang kaya sebagai barangan mewah yang hanya dipakai oleh wanita Melayu Sarawak dari kalangan bangsawan.
“Dari segi sejarah, jenis pakaian unik ini merupakan petunjuk utama kepada perkembangan budaya dalam mana-mana tamadun, kerana ia akhirnya menjadi aset penting untuk perdagangan, membuka jalan bagi komuniti yang berbeza untuk berkumpul dan berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Majlis ini diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Simposium ini diinspirasikan daripada Simposium Tekstil Asean yang diadakan di Putrajaya September lalu.
Simposium Tekstil Borneo ini adalah sebahagian inisiatif berterusan untuk meningkatkan dan memacu pemeliharaan dan pemuliharaan tekstil.
Abdul Karim berkata pembangunan bakat tempatan hari ini amat penting dijadikan titik fokus dalam mengekalkan komuniti tekstil.
“Dengan sokongan pelbagai agensi dalam melatih kemahiran berkaitan tekstil dalam kalangan bakat tempatan serta ekosistem yang harmoni, Sarawak boleh, dan akan menjadi, hab kreatif teladan untuk warisan tekstil kita,” katanya.
Industri kraftangan Sarawak telah mencecah RM15.7 juta jualan pada tahun lalu. Ini dicapai melalui komuniti kraf seramai 687 orang di Sarawak.
Berkat usaha pendigitalan, kraftangan ini mampu menjangkau khalayak yang lebih luas, di dalam dan di luar negara.
“Untuk menggalakkan trend ini dan untuk menguatkan kesan ke atas pelancongan, kerjasama berasaskan hibrid antara pemain utama dalam pemeliharaan dan pengeluaran tekstil, seperti Majlis Seni Sarawak, Lembaga Pelancongan Sarawak, dan Majlis Kraf Sarawak, dan mungkin dengan organisasi antarabangsa juga, harus ditubuhkan,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Karim turut menzahirkan penghargaan kepada penaung simposium ini iaitu Permaisuri Agong atas sokongan berterusannya terhadap budaya dan warisan di Sarawak.
Oleh NUR AIN OTSMAN