Sulingan Jiwa dan Pelahiran Makna
Oleh Mohidin Haji Malek
SAJAK merupakan puisi Melayu moden yang berbentuk bebas dan tidak terikat pada jumlah baris, perkataan sebaris, rangkap, rima dan sebagainya. Sifat bebas yang dimiliki oleh sajak bermaksud keupayaan dan kesediaan sajak terhadap penerimaan bentuk-bentuk yang terdapat sama ada daripada puisi tradisional mahupun kemunculan bentuk-bentuk baharu yang dihasilkan berdasarkan kreativiti dan sensitiviti penyair atau penggabungan daripada bentuk-bentuk yang sedia ada. Kebebasan sajak dalam aspek bentuk dapat dilihat melalui cara penghasilan dan penulisannya. Namun, sajak masih lagi terikat dengan penerapan dan penggunaan bahasa sebagai medium penyampaian.
Andai diimbas kembali pandangan Za’ba, beliau menyatakan bahawa puisi ialah karangan berangkap. Katanya, puisi tidak memakai perenggan seperti prosa. Rangkap puisi lama (puisi konvensional) terdiri daripada baris tetap dan seimbang manakala puisi moden (sajak) ternyata sudah melanggar ciri konvensional seperti yang terdapat pada pantun dan syair.
Menurut Muhammad Haji Salleh, sajak ialah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Takrifan ini menjelaskan bahawa sajak itu indah dan merdu (apabila dideklamasikan). Seperti H.B Jassin, Muhammad Haji Salleh tetap mempertahankan bahawa sajak yang baik ialah sajak yang indah bahasanya dan dapat melancarkan kebijaksanaan (tidak kosong atau sekadar bombastik semata-mata).
Bagi Samuel Taylor Coleridge, beliau mendefinisikan puisi sebagai ‘kata-kata terbaik dalam susunan terbaik’ (the best words in the best order). W. H. Auden, penyajak British-Amerika yang terkenal dengan cara penulisan yang stilistik, menyatakan bahawa seorang penyajak, melangkaui perkara lain, ialah seseorang yang amat mendalam cintanya terhadap bahasa (A poet is, before anything else, a person who is passionately in love with language).
Daripada pendefinisian yang dipetik daripada ketiga-tiga tokoh di atas, sajak berupa puisi moden yang menekankan keindahan yang diserlahkan lewat pemilihan dan penggunaan diksi-diksi yang terbaik atau sesuai bagi melahirkan suatu karya yang termuat dengan unsur kebijaksanaan atau ilmu.
Lantaran hal yang sedemikian, untuk bergiat dalam dunia pengkaryaan, tanpa mengira bentuk genrenya, kemahiran dalam bidang kebahasaan amat dituntut. Dalam konteks penulisan sajak, sifatnya yang ekonomis dari segi pembentukan bait-bait dalam sesuatu rangkap bagi melahirkan sebuah naratif lengkap yang bukan sahaja mampu diselami, ditaakuli, difahami serta dihayati oleh khalayak pembaca, bahkan menghadirkan cabaran dalam bentuk kekuatan daya pemerhatian, pemikiran dan pelontaran idea. Tafsiran ‘kata-kata terbaik dalam susunan terbaik’ melangkaui sempadan tafsiran yang lebih luas. Kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik yang tidak membawa apa-apa maksud atau kesan, tidak akan menjadikan atau mengkategorikannya sebagai sebuah karya yang terhasil sebagai sajak yang baik.
Penulis buku The Song of Soul, Khan Eagle menyatakan bahawa sajak bukan sekadar menyatakan sama ada apa-apa yang terlintas dalam fikiran anda, mahupun menyusun atur kata-kata indah dalam sesuatu baris. Sajak berupa penyulingan jiwa menjadi rima yang bermakna (Poetry is neither saying whatever crosses your mind, nor juxtaposing some fancy words in a line. Poetry is distilling your soul into a meaningful rhyme).
Erica Jong, penyajak dan novelis Amerika pula menyatakan bahawa, perkara yang menjadikan anda penyajak ialah anugerah dalam bidang bahasa, keupayaan untuk melihat ke dalam nubari sesuatu perkara serta kebolehan untuk menangani bahan-bahan di luar daya sedar. Apabila kesemua elemen ini bergabung, anda seorang penyajak. Namun, terdapat suatu gimik yang menjadikan anda penyajak. Tidak terdapat apa-apa juga formula baginya (What makes you a poet is a gift for language, an ability to see into the heart of things, and an ability to deal with important unconscious material. When all these things come together, you’re a poet. But there isn’t one little gimmick that makes you a poet. There isn’t any formula for it).
Definisi serta pengutaraan petikan kata-kata tokoh-tokoh terkemuka di atas sekadar sebagai imbas kembali yang diharapkan dapat memugar semula ingatan penulis makalah dan khalayak pembaca tentang genre yang akan diulas dan diperkatakan dalam siaran kali ini. Sememangnya apabila berbicara tentang sajak, definisi ‘kata-kata terbaik dalam susunan terbaik’ sering menggelincirkan laras pemikiran umum terhadap komponen-komponen lain yang membentuk kerangka binaan sesebuah sajak. Hal yang sedemikian mengakibatkan sesebuah sajak yang dihasilkan menjadi hambar dan kurang bermutu.
Pada minggu lalu, telah dimuatkan tiga buah puisi dalam ruangan ini, iaitu “Membisu Kerana Dusta” karya Adam Buck Lee, “Kemahsyuran”tulisan Iffah Imani dan “Seagam Teratak Kasih Bonda” nukilan Muhammad Jazuli Madenan @ Asseman.
Saudara Adam Buck Lee dan Muhammad Jazuli bukanlah individu baharu arena kepenulisan sajak. Malah, karya-karya mereka pernah beberapa kali tersiar dalam akhbar. Sajak “Membisu Kerana Dusta” berupa sajak yang berbentuk prosaik atau ditulis dalam bentuk prosa, namun mengekalkan unsur kepuitisan dan keindahan. Lewat sajak ini, Adam meluahkan rasa kesal akan sikap seseorang yang berjauhan yang bukan sahaja bersikap membisu atau acuh tidak acuh, akan tetapi turut melemparkan cercaan dan kata nista. Sajak beliau dimulakan dengan kalimat, sepinggan dusta retak di kolam sifat lalu terhambur deraian perca nista. Memang terkesan unsur kepuitisan dalam pembinaan kalimat ini, namun demikian, dari segi pemilihan diksi atau pembentukan imejan, sikap berhati-hati dalam penyesuaian unsur keindahan dan ketepatan serta unsur lojik harus diberikan perhatian khusus. Dalam konteks sajak ini, pemilihan kata “sepinggan”, “retak”, “kolam” dan “perca”. Persoalan yang terbit adalah, adakah dusta yang sepinggan itu yang retak di atas kolam sifat atau pinggan yang mengandungi dusta itu yang retak ketika jatuh di kolam sifat? Harus diambil perhatian juga bahawa terdapat persempadanan makna antara perkataan retak berbanding perkataan pecah. Retak tidak akan menghasilkan serpihan tajam yang mampumelukakan. Manakala kata perca kurang sesuai dalam konteks pemaknaan bagi menautkan idea yang ingin diketengahkan pengkarya. Pengkarya memiliki masa dan ruang untuk memurnikan sajak ini menjadi sebuah sajak yang kuat. Sebagai memugar ingatan, dipaparkan sajak berkenaan seperti yang berikut;
Membisu Kerana Dusta
Sepinggan dusta retak di atas kolam sifat lalu terhambur deraian perca nista. Garis runcing berterusan mengerat telapak jiwa, dan setiap kali mengutip serpih itu aku teresak-esak duka dan tidak mampu mengelus nikmat bahagia. Terfikir sejenak kenaifan yang menjahit diri ketika itu meski menelan cantuman rawan sekali pun tidak mungkin boleh menyusup berpulang percaya. Di kejauhan sana kau diam tanpa bicara menghadang pandangan rancak mencipta kepalsuan tenang jernih dan terus memutar musim kering yang menguncup jalan penyelesaian setelah merecik manis durja kata.
Sajak “Kemahsyuran” nukilan Iffah Imani pada awalnya menimbulkan persoalan tentang kewujudan serta makna kata berkenaan. Mungkinkan berlaku kesilapan saudari Iffah semasa proses penaipan? Adakah perkataan yang dimaksudkan adalah kemasyhuran yang terbit daripada kata akar masyhur? Lewat sajak ini, Iffah berbicara tentang suka dan duka yang dilalui untuk mengecapi nikmat ‘mendapat’ kemasyhuran atau ‘terkenal’ (seandainya perkataan kemasyhuran yang dimaksudkan). Kata mahsyur tidak terakam dalam kamus, lantas tidak membawa apa-apa makna yang khusus. Dalam konteks ini, dan seperti yang dinyatakan terdahulu, sikap berhati-hati dalam pemilihan diksi atau kata-kata harus diberikan perhatian khusus. Andai tersilap, akan memberikan kesan terhadap sajak berkenaan secara keseluruhannya. Kita imbas kembali rangkap pertama sajak yang dinukilkan oleh Iffah Imani.
Kemahsyuran
Kemahsyuran
Nikmat keriangan untuk semua
Kaki yang lemah akan digagah untuk meraih keriangan
Tubuh yang lemah akan digagah untuk merangkul keriangan
Tubuh yang gagah juga berkejaran bersama
Tidak sesekali meninggalkan segala ruang dan jurang
Lebih kejam dengan menikam pantas sekujur tubuh yang lemah
Menyakiti dengan rela
Walau perlu bernafas dalam lumpur
Satu energi yang kuat akan mengalir dengan deras
Bagaikan letusan letupan gunung berapi
Mendidih dengan hangat sekali
Sekali sekala bersama amukan dahsyat!
Apabila berlaku kesilapan seperti yang dinyatakan, proses penilaian sajak berkenaan menjadi agak sukar akibat ‘kekaburan’ yang timbul. Ulasan tidak dapat didasarkan pada andaian semata-mata, melainkan ketepatan maksud yang dihadirkan oleh pengkaryanya. Dalam konteks ini, pemurnian perlu dilakukan oleh Iffah. Beban kesilapan tidak dapat dilaraskan kepada pihak editorial memandangkan karya-karya yang disiarkan adalah seperti bentuk asal penerimaan bahan berkenaan bagi tujuan bimbingan.
Sajak “Seagam Teratak Kasih Bonda” karya Muhammad Jazuli Madenan memperlihatkan tahap peningkatan pengkaryanya. Sajak ini diolah secara baik di samping sifat berhati-hati. Muhammad Jazuli memilih diksi yang sesuai bagi menerapkan ‘roh’ dalam sajak berkenaan. Pun demikian, baris ketiga dan keempat pada rangkap ketiga, dicadangkan diubah menjadi usah khianati tulus cintanya, setia sabar santuni tingkah usianya. Secara keseluruhannya, sajak ini baik.
Seagam Teratak Kasih Bonda
Andainya dirimu pulang
teratak bonda pasti menggamit megah hadirmu
pandanglah tiap ceruk
ada lakaran pengorbanan
ada kisah-kisah pengalaman.
Di situlah
abadinya kesabaran bonda
bersama jerih payahnya
menyulam keperibadian insan
pada ruang jiwa dan fikirmu yang kontang.
Santunilah
mekar-mekar kasih bondamu
janganlah dikau khianati tulus cintanya
sabarlah melayani tingkah usianya
asbab kasih bondamu jua
dirimu sejahtera.
Kausiramilah
kuntum-kuntum kenangan itu
pasakkan teratak nan agam ini
silaturrahmi
di puncak bahagia.
Meneliti dan menaakuli ketiga-tiga buah sajak yang dihasilkan, masih terdapat ruang untuk pemurnian dan penambahbaikan dilakukan bagi memantapkan lagi sajak-sajak berkenaan. Berdasarkan petikan kata-kata beberapa orang penulis tersohor dunia, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah tahap kemahiran berbahasa. Oleh yang sedemikian, untuk menjadi penulis yang berjaya, prasyarat berkenaan perlu dan wajib dipenuhi. Rajin-rajinkan diri untuk membelek-belek kamus seandainya timbul kekaburan atau kesangsian dari segi pemahaman tentang sesuatu perkataan. Kata-kata yang dilahirkan dalam sesebuah sajak berupa ‘sulingan jiwa yang melahirkan makna’ seperti yang dinyatakan Khan Eagle, ‘sajak bukan sekadar menyatakan sama ada apa-apa yang terlintas dalam fikiran anda, mahupun menyusun atur kata-kata indah dalam sesuatu baris. Sajak berupa penyulingan jiwa menjadi rima yang bermakna’.
Kepada Adam Buck Lee, Iffah Imani dan Muhammad Jazuli Madenan @ Asseman, syabas dan tahniah. Giatkan usaha untuk terus berkarya.
Salam bahasa dan sastera. Bahasa Jiwa Bangsa.