KUCHING: Pelantikan lima menteri dari Sarawak termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri II menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata malah pemilihan kementerian untk disandang oleh wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga amat sesuai untuk negeri ini.
Katanya, pelantikan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof yang turut memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi adalah keputusan yang tepat.
“Ini memandangkan Sarawak dijangka menjadi pengeluar minyak sawit terbesar negara dalam tempoh dua tahun ini.
“Selain itu, komoditi baharu (di Sarawak) kini adalah karbon dan hidrogen, maknanya Kerajaan Persekutuan boleh membantu kita (mengenai) perniagaan karbon di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Kejohanan Badminton Piala Abang Jo 2022 dan perasmian Dewan Persatuan Badminton Sarawak (SBA) di Jalan Lapangan Terbang di sini, hari ini.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang mengambil alih portfolio Fadillah sebelum ini iaitu Kementerian Kerja Raya, dapat memastikan program infrastruktur luar bandar di Sarawak terus ditingkatkan.
Selain Fadillah dan Nanta, tiga lagi wakil GPS yang dilantik dalam Kabinet Menteri Kerajaan Perpaduan ialah Dato Sri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan, Dato Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).
Dalam kerajaan terdahulu, Sarawak mempunyai empat menteri tetapi kali ini bertambah satu, menjadi lima.
Fadillah pula mencatat rekod sebagai Timbalan Perdana Menteri pertama dari Borneo sejak Sarawak merdeka 59 tahun lalu.
Oleh RYNNA SHA’ERRA