KUCHING: Klef bibir dan lelangit adalah masalah kongenital paling kerap berlaku di dunia dan di Asia pula ia memberi kesan kepada 500 hingga 700 kelahiran.
Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr. Ngian Hie Ling, berkata bayi yang dilahirkan dengan klef berdepan dengan beberapa masalah seperti mengalami masalah pendengaran, kerosakan gigi serta masalah pertuturan.
“Mereka berkemungkinan berdepan masalah dari segi perubatan dan komplikasi yang memerlukan penglibatan padu pelbagai aspek kepakaran perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Penjagaan Klef dan Pembedahan Sarawak Ke-3 2022, di Auditorium HUS, di sini, hari ini.
Istilah klef diterima pakai dalam konteks perubatan bagi menggantikan istilah ‘sumbing’ yang digunakan sebelum ini.
Dr Ngian berkata beliau amat mengalu-alukan sebarang program, terutamanya berkaitan dengan kebajikan pesakit sama ada di peringkat premis kerajaan atau swasta.
Katanya, program itu memberi peluang untuk melihat bagaimana bayi sumbing membesar sehingga dewasa, yang merupakan satu perjalanan yang panjang bagi mereka apabila menerima rawatan berterusan ketika membesar.
“Selain itu, maklumat yang tidak lengkap atau pengetahuan ibu bapa yang terhad menyebabkan mereka hanya fokus dan mengutamakan pembedahan, tanpa memberi perhatian yang sama kepada bahagian lain penjagaan sumbing seperti pendengaran, kesihatan pergigian dan pertuturan.
“Malah kerjasama daripada pelbagai peringkat kepakaran seperti pakar Bedah Plastik & Rekonstruktif, Doktor Gigi Pediatrik, pakar O&G, pakar Pediatrik, pakar Bius Pediatrik, pakar Otorhinolaryngologi, Perkhidmatan Sakit Akut (APS), Jurupulih Pertuturan, pakar Psikiatri Kanak-kanak, pakar Bedah Oromaxillofacial, pakar Diet, Pegawai Kebajikan Masyarakat dan sebagainya diperlukan untuk menjayakan rawatan.
“Diharapkan strategi dan resipi kejayaan mereka dapat dikongsi bersama atas nama perkongsian untuk menjaga manfaat orang sumbing di semua hospital di Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Pertubuhan Rekahan Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) kerana menyokong program di sini sejak 2018 sehingga kini.
Oleh AZREEN KERIA