KUCHING: Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan atlet dibawah program Road to Tokyo (RTT) untuk memulakan semula dan meneruskan latihan pada 1 Jun sebagai persediaan Sukan Olimpik dan Paralimpik tahun depan.
Menurutnya, keputusan itu akan membolehkan atlet membuat persiapan mereka sendiri untuk Sukan Olimpik Tokyo yang telah dijadualkan semula 23 Julai hingga 8 Ogos tahun depan dan Paralimpik yang akan diadakan 24 Ogos hingga 5 September.
“Ini juga berita baik bagi atlet Sarawak kita yang akan mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik dan semoga keputusan ini dapat dilaksanakan secara beransur-ansur diperluas kepada mereka yang akan mewakili negara untuk acara besar yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Belia Prihatin 2020 Kementerian Belia dan Sukan Sarawak di Bilik Mesyuarat Bangunan Baitul Makmur, semalam.
Tambah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu lagi, terdapat ramai atlet Sarawak yang juga telah dipilih dan disenarai pendek untuk 31st South East Asia Games yang akan berlangsung di Vietnam pada 21 November hingga 2 Disember 2021 dan juga 2022 Asian Games yang dijadual berlangsung di Hangzou, China.
“Ratu Terjun Negara, Pandelela Rinong Pamg sudah mengesahkan penyertaannya dalam Sukan Olimpik Tokyo yang akan datang manakala Kimberley Bong masih berjuang untuk tempat kelayakan bersama perenang negara, Welson Sim,” ujarnya lagi.
Keputusan untuk membenarkan atlet Olimpik juga akan meningkatkan semangat mereka dan memotivasi lebih jauh kerana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atlet ini terpaksa melakukan latihan sendiri di rumah.