KUCHING: Penganjuran program Sarawak Road Trip oleh Agensi-Agensi Pengendalian Pelancongan dalam Negeri Sarawak (ASIA) disifatkan sebagai program pelancongan yang memberi ‘kebebasan’ kepada pelancong untuk meneroka lebih banyak tempat menarik di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia adalah program pertama di Sarawak yang membolehkan pelancong membawa kenderaan sendiri untuk bergerak ke destinasi pelancongan yang telah dikenal pasti.
“Selain itu, buku panduan turut disediakan bagi memudahkan mereka berkunjung ke tempat menarik di sekitar lingkaran bandar raya.
“Saya berharap program seperti ini dapat diterima kerana ia memberi lebih kebebasan kepada pelancong untuk berkunjung mengikut masa dan keadaan mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian program Sarawak Road Trip di Tebingan Sungai Kuching, di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan luar bandar juga perlu memastikan semua papan tanda adalah dalam keadaan baik bagi memudahkan pelancong mencari destinasi dan tiba di tempat yang betul.
“Bagi mereka (PBT) mungkin ia (papan tanda) tidak begitu penting kerana mereka sudah terbiasa dengan tempat tersebut, namun bagi pengunjung pastinya mereka memerlukan papan tanda yang baik atau mereka akan tersesat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Karim berharap rangkaian internet di Sarawak dapat dinaik taraf bagi membolehkan pengembara di Sarawak menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze dan GPS dengan lebih tepat.
Katanya, beberapa kawasan di negeri ini terutama kawasan pedalaman tidak mempunyai capaian internet yang baik hingga menyukarkan pelancong amnya untuk menggunakan aplikasi navigasi.
“Selain itu, pelancong juga memerlukan capaian internet yang baik untuk mencari maklumat mengenai tarikan spesifik di setiap destinasi pelancongan,” katanya.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Hii Chang Kee, Pengerusi ASIA Philip Yong dan Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh Askor.
Oleh RYNNA SHA’ERRA