KUCHING: Bengkel Pertandingan Kaligrafi Arab dan Cina Peringkat Kebangsaan 2022 serta Pameran Karya Kaligrafi Arab dan Cina yang buat julung kalinya di Sarawak akan diadakan pada 19 hingga 21 Disember ini di Hotel Imperial, di sini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, objektif program ini adalah untuk menyerlahkan bakat dan karya kreatif ahli kaligrafi Arab dan Cina.
“Saya percaya bengkel dan pameran itu akan meningkatkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum khususnya di Sarawak dan juga di seluruh Malaysia amnya.
“Selain itu, program ini akan membantu menarik pelancong domestik dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak. Program ini juga selaras dengan objektif penubuhan Pertubuhan Kaligrafi Cina Kuching-Samarahan serta peranan yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) sebagai badan penasihat dalam pelaksanaan aktiviti Kaligrafi Arab,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur, hari ini.
Abdul Karim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Pertubuhan Kaligrafi Cina Kuching-Samarahan, dengan kerjasama JAIS, dan disokong oleh kementeriannya atas inisiatif dan kerja keras dalam menjayakan acara ini.
“Seramai 210 peserta dari Sabah, Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengesahkan penyertaan mereka dalam program ini,” katanya.
Sorotan program ini termasuk Bengkel Kaligrafi Arab dan Kaligrafi Cina yang akan dikendalikan oleh enam pakar dalam Kaligrafi Arab dan Cina.
Pemenang akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM58,600. berserta trofi dan sijil penyertaan.
“Meyakini bahawa melalui platform pembelajaran dan pemerhatian yang dicipta oleh aktiviti seni kaligrafi ini, budaya seni kaligrafi boleh dipertingkatkan lagi.
“Pengaruh seni khat harus diperluaskan ke semua lapisan masyarakat, seterusnya menggalakkan penghayatan masyarakat terhadap budaya dan tradisi, juga untuk mewujudkan pemahaman lebih mendalam melalui bahasa seni yang dikongsi oleh kedua-dua jenis seni khat untuk membentuk jambatan budaya yang sama dan menyatukan semua kaum di negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berharap pencinta seni khat dari seluruh negara dapat melancong ke Kuching dan berpeluang merasai keharmonian hidup bersama masyarakat majmuk di Sarawak, kesederhanaan dan semangat penduduk setempat serta budaya tradisional yang unik.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Kaligrafi Cina Kuching-Samarahan, Ang Seng Bian serta Pegawai Hal Ehwal Islam JAIS, Abdul Salam Morshidi.
Oleh NUR AIN OTSMAN