KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak akan melaksanakan dua projek dalam masa terdekat sebagai sebahagian Pelan Hala Tuju Gas Sarawak iaitu Hab Miri dan Samalaju.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dua projek berkenaan memerlukan pelaburan sekitar RM6 bilion
Katanya, projek pertama membabiotkan Hab Miri adalah bagi pengeluaran loji tenaga yang berkeupayaan mengeluarkan 400 megawat (MW) bagi memastikan keselamatan tenaga di utara negeri ini.
“Projek kedua adalah Hab Samalaju. PETROS akan memasang saluran paip gas dan membina loji janakuasa dengan Sarawak Energy Berhad (SEB).
“Ini penting untuk melengkapkan Samalaju sebagai zon industri berat dan memastikan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada industri berat di situ,” katanya pada ucapan penggulungan di hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebentar tadi.
Abang Johari berkata Pelan Hala Tuju Gas PETROS akan mengubah landskap sosioekonomi Sarawak menjelang 2030 melalui kewujudan empat hab gas di Miri, Bintulu, Samalaju dan Kuching.
“Malah ia bakal memberikan perkhidmatan kepada seluruh Sarawak yang serupa dengan model ‘Hub & Spoke’. Ini bagi memberikan akses seluruh negeri kepada bekalan gas yang mencukupi dan berpatutan serta tenaga yang bersih.
“Sepanjang 10 tahun, jumlah pelaburan yang diunjurkan melalui empat hab adalah RM65 bilion termasuk industri nilai tambah hiliran bagi membolehkan akses gas di luar Miri dan Bintulu hingga ke seluruh bahagian di Sarawak,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA