KUCHING: Langkah kerajaan Sarawak untuk mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas tayar adalah untuk membiayai perbelanjaan melupuskan tayar terpakai di di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata SST pada tayar adalah sebahagian daripada sumbangan industri ke arah pemuliharaan alam sekitar.
Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan daripada DAP, Chong Chieng Jen perlu memahami objektif cukai itu adalah untuk membantu kerajaan memastikan tayar terpakai tidak menjejaskan alam sekitar.
“Sebab itu kita lantik syarikat swasta untuk menjalankan kutipan tayar (terpakai) itu. Untuk makluman, sejak 2013, mereka telah mengumpul 78,000 tan tayar di bandar-bandar besar,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Dalam perbahasan dan celahan pada sidang DUN kali ini, Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak meminta penangguhan SST dikenakan ke atas tayar selama tiga tahun lagi bagi meringankan beban peniaga dan pengguna secara keseluruhan.
Uggah berkata, kerajaan sangat responsif kepada pendapat umum dan saranan orang ramai.
Sebab itu katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi remisi (pulangan balik cukai taksiran) 50 peratus sehingga penghujung tahun ini.
Kerajaan Sarawak telah memberikan remisi 50 peratus ke atas SST selama dua tahun dari Januari 2021 hingga Disember 2022.
Oleh NUR AIN OTSMAN