KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan 28 projek bernilai RM2.26 bilion bagi sektor pembuatan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang mewujudkan 2,500 peluang pekerjaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, berkata RM1.02 bilion telah diluluskan di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (ICA).
Katanya, sejumlah RM1.24 bilion pula diluluskan di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian Negeri (ICC).
“Tiga projek yang diluluskan pelaburan di bawah ICA adalah untuk produk elektrik dan elektronik bernilai RM1 bilion; produk galian bukan logam (produk kaca) dengan jumlah RM10 juta dan produk peralatan pengangkutan (kapal tunda) (RM9 juta).
“Selain itu, baki 25 projek yang diluluskan di bawah ICC adalah seperti produk elektrik dan elektronik (solar jongkong & wafer) dengan jumlah RM1.128 bilion; produk minuman (air minuman dalam botol) (RM50.9 juta).
“Produk makanan (makanan diproses) RM19.3 juta dan perkhidmatan (pergudangan, logistik dan perkhidmatan kejuruteraan) RM18.2 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Awang Tengah berkata selain projek yang diluluskan itu, kementeriannya juga menerima permohonan untuk 46 projek dengan jumlah pelaburan yang dicadangkan sebanyak RM41.9 bilion.
“Ini termasuk RM35.45 bilion untuk projek pelaburan baharu dalam keluli hijau, produk kimia, dan lain-lain manakala RM6.47 bilion adalah untuk projek pelaburan semula oleh pelabur sedia ada di Sama Jaya dan Samalaju untuk cip wafer silikon, kerajang tembaga dan jongkong solar.
“Hakikat bahawa pelabur ini terus melabur semula dan mengembangkan perniagaan mereka di Sarawak walaupun dalam masa yang mencabar ini jelas menggambarkan keyakinan mereka terhadap cara kita menguruskan ekonomi kita dan kestabilan politik di Sarawak,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA