KUCHING: Prestasi industri perkayuan Sarawak bagi tempoh suku ketiga tahun ini menunjukkan peningkatan nilai eksport sebanyak 4.5 peratus kepada RM3.05 bilion berbanding RM2.92 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Jepun kekal sebagai pengimport utama bagi produk perkayuan negeri ini yang menyumbang RM1.8 bilion atau 62 peratus daripada keseluruhan nilai eksport bagi tempoh suku ketiga tahun ini.
“Pasaran utama lain ialah India sebanyak RM357 juta, negara Asia Barat RM134 juta, China RM131 juta dan Taiwan RM117 juta,” katanya ketika menggulungan perbahasan pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Awang Tengah berkata, dari segi produk, papan lapis menunjukkan peningkatan nilai eksport iaitu sebanyak 2.5 peratus bagi tempoh suku ketiga tahun ini kepada RM1.67 bilion berbanding RM1.63 bilion bagi tempoh suku ketiga tahun lalu.
“Kerajaan terus komited untuk meningkatkan nilai eksport dengan menggalakkan lebih banyak pengeluaran produk nilai tambah yang tinggi seperti perabot dan produk kejuruteraan kayu serta menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Diharapkan kadar peningkatan ini dapat dikekalkan sehingga penghujung tahun ini dan masa hadapan bagi memastikan industri perkayuan terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak,” katanya.
Dalam pelan PCDS 2030, kerajaan Sarawak komited untuk meningkatkan nilai pendapatan eksport barangan kayu kepada RM8 bilion setahun menjelang tahun 2030.
“Sasaran eksport ini memberi fokus kepada pengeluaran produk nilai tambah tinggi seperti perabot, produk kayu kejuruteraan dan produk berasaskan buluh, serta menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan produk.
“Sasaran ini seiring dengan potensi pertumbuhan yang diunjurkan dalam nilai pasaran perabot dunia,” katanya.
Berdasarkan laporan Penyelidikan dan Pasaran AS 2022, nilai pasaran perabot dunia adalah berjumlah AS$945 bilion setahun menjelang 2030 berbanding hanya AS$637 bilion setahun pada 2021.
Dalam pada itu, nilai pasaran untuk produk kayu kejuruteraan dijangka meningkat kepada melebihi AS$400 bilion setahun menjelang 2030 berbanding hanya AS$284 bilion setahun pada 2019.
Unjuran ini berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Allied Market Research, US 2022. Nilai pasaran produk buluh pula adalah berjumlah AS$6.9 bilion setahun pada tahun ini.
Nilai pasaran ini dijangka meningkat kepada AS$12.4 bilion setahun pada 2032 berdasarkan laporan oleh Future Market Insights Global and Consulting, US 2022.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan melalui agensi yang berkaitan akan terus membantu pihak industri untuk menyediakan kemudahan infrastruktur yang diperlukan.
Ini termasuk makmal pengujian perabot, tapak perindustrian seperti Taman Perabot di Demak Laut dan Tanjung Manis serta terus meningkatkan kolaborasi R&D dengan institusi pengajian tinggi tempatan, institut penyelidikan dan pemain industri bagi membangun produk nilai tambah yang lebih berdaya saing.
Oleh NUR AIN OTSMAN