KUCHING: Sarawak mencapai Kadar Sara Diri (SSR) dalam penternakan poltri dengan mencapai 100 peratus SSR dalam penghasilan telur dan 95 peratus untuk ayam pedaging.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata pada masa ini terdapat 311 ladang poltri berlesen di Sarawak.
“Pengeluaran ayam pedaging pada masa ini ialah 1,300 tan metrik sebulan, manakala purata pengeluaran telur ialah 55 juta biji sebulan.
“Memandangkan permintaan yang semakin meningkat terhadap pengeluaran ayam itik di dalam negeri dan juga dari negara jiran, terutamanya dengan cadangan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan, kerajaan Sarawak akan terus membangunkan industri ternakan ayam.
“Ini untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar utama produk ayam di rantau ini,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Rundi berkata, bagi mempergiatkan industri ternakan di Sarawak, kementeriannya telah melaksanakan inisiatif strategik termasuk penswastaan stesen ternakan.
Sehingga kini, katanya, tiga stesen ternakan telah diswastakan untuk penternakan ruminan komersial yang melibatkan tujuan pembiakan dan penggemukan.
“Stesen ternakan pertama yang diswastakan ialah Stesen Temudok, Sri Aman untuk pembiakan komersil biri-biri dan kambing. Ini adalah
diikuti Stesen Karabungan, Stesen Miri dan Maragang, Limbang untuk pengeluaran komersial lembu dan kerbau,” katanya.
Firma swasta yang dilantik sebagai operator stesen ini dijangka memulakan pembangunan infrastruktur dan kerja-kerja kemudahan pada awal 2023.
Kerajaan Sarawak juga katanya, telah meluluskan RM12 juta untuk Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) bagi meningkatkan program integrasi lembu – kelapa sawit mereka dengan mewujudkan pusat pembiakan dan penggemukan.
“Sehingga kini, SALCRA telah menubuhkan satu pusat penternakan dan penggemukan lembu di Serian manakala pembinaan dua lagi pusat yang terletak di Bau dan Betong dijangka dimulakan menjelang suku kedua 2023.
“Pusat pembiakan dan penggemukan ini akan menerima pakai Sistem Penternakan Separa Intensif Bersepadu, bersepadu dengan ladang kelapa sawit. Ketiga-tiga projek itu dijangka siap sepenuhnya pada awal 2025 dan disasarkan untuk menghasilkan lebih 2,000 anak lembu setiap tahun,” katanya.
Rundi juga berkata, bekalan daging khinzir di Sarawak adalah lebihan dan akan berterusan dieksport terutamanya ke Singapura, Brunei Darussalam dan Kalimantan.
“ Sehingga pertengahan November 2022, sejumlah 110,200 daging khinzir dengan anggaran nilai atau RM107.6 juta telah dihantar ke Singapura.
“Sebanyak 1,500 kilogram daging khinzir lagi diangkut melalui darat ke Brunei Darussalam dan Kalimantan setiap hari dan ini merupakan pendapatan tahunan sekitar RM13.5 juta,” katanya.
Bagi mengeksploitasi potensi besar industri khinzir, kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM27 juta untuk menubuhkan dua lagi Kawasan Penternakan Khizir (PFA) di Selangau di Bahagian Sibu dan Samarakan di Bahagian Bintulu.
Sehingga kini, tapak untuk PFA Selangau telah diluluskan dan ia di peringkat akhir untuk mengambil alih tanah manakala PFA Samarakan di peringkat perancangan awal.
Oleh NUR AIN OTSMAN