KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah mengenal pasti kawasan baharu untuk projek penanaman padi berair termasuk 80 hektar di Kampung Mujat di Bahagian Serian dengan kos RM4.5 juta.
Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, tender untuk projek ini dijangka dibuka tahun depan.
“Selain Kampung Mujat, satu lagi kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan baharu yang berpotensi untuk penanaman padi secara besar-besaran ialah di Selepong-Panggil di Bahagian Sri Aman.
“Projek ini akan dibangunkan secara berperingkat dan akan dimulakan dengan keluasan awal 600 hektar. Apabila siap, projek ini berpotensi menghasilkan tanaman berganda sebanyak 5,400 tan metrik padi setiap tahun,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Katanya, dibawah Projek Jelapang Padi Batang Lupar, yang dibangunkan oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar, pembangunan infrastruktur utama di Lingga-Banting sedang berjalan dengan baik.
“Projek ini dijangka siap pada suku pertama 2024 dengan kos keseluruhan RM102.5 juta. Apabila siap, pembangunan 920 hektar ini dijangka menghasilkan tanaman berganda sebanyak 7,400 tan metrik padi setiap tahun,” katanya.
Jumlah kawasan yang sesuai untuk penanaman padi di Sarawak dianggarkan kira-kira 150,000 hektar, termasuk lebih daripada 200 skim Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak dan kawasan pengeluaran pertanian lain.
“Bagaimanapun, sebahagian besar kawasan ini sama ada kekurangan infrastruktur ladang atau dalam keadaan usang. Disebabkan keadaan infrastruktur yang lemah di kebanyakan kawasan ini, petani sama ada membiarkan tanah mereka terbiar atau menanam tanaman lain yang menguntungkan seperti kelapa sawit.
“Akibatnya, jumlah saiz tanah yang kini ditanam dengan padi telah berkurangan dengan ketara kepada kira-kira 83,000 hektar pada tahun lalu,” katanya.
Bagi membangunkan persekitaran yang kondusif untuk pengeluaran padi dan mengelakkan pengurangan lagi saiz tanah padi, JPS Sarawak sedang memulihkan dua Skim JPS sedia ada.
“ Ini termasuk Skim Tanjung Purun dan Skim Kampung Pueh yang meliputi kawasan seluas 200 hektar dengan kos RM3.8 juta di bawah RMK12,” katanya.
Satu lagi projek yang telah diluluskan untuk infrastruktur menaik taraf oleh JPS Sarawak ialah pemulihan Skim Mid-Sadong I dengan kos RM30 juta melibatkan lebih 500 hektar dan ia dalam peringkat perancangan.
“Dalam skim ini, kira-kira 100 hektar di Kampung Lubok Punggor akan ditumpukan untuk penanaman padi istimewa, Biris. Pembangunan projek ini dijadualkan bermula pada suku pertama 2023,” katanya.
Selain itu, sebanyak 90 hektar kawasan padi sedia ada di Lebor, Bahagian Serian juga akan dipulihkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) yang mana setakat ini, 30 hektar telah dibangunkan. Sementara itu, satu lagi kawasan di Abok, Pantu di Bahagian Sri Aman, yang meliputi kawasan seluas 120 hektar juga sedang dirancang untuk dinaik taraf di bawah RMK12.
Oleh NUR AIN OTSMAN