KUCHING: Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah memberi manfaat kepada lebih 80,000 pelajar sejak mula dilaksanakan pada 2020.
Dalam pada itu, Program Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD) untuk Guru Sains dan Matematik telah melibatkan 5,100 guru di seluruh Sarawak sejak 2019.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, berdasarkan maklum balas daripada guru, mereka mempunyai sedikit masalah dalam menyampaikan pelajaran dalam bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik.
“Pelajar juga telah menunjukkan sikap positif terhadap pelajaran yang dijalankan dalam bahasa Inggeris.
“Walau bagaimanapun, ia dianggap pramatang untuk menentukan kesan program. Ia akan mengambil keseluruhan pendidikan rendah selama enam tahun untuk mengukur kesannya. Namun begitu, saya yakin program ini mampu mencapai impak yang diinginkan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Selain pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, kementeriannya juga telah memulakan CPD untuk pemimpin dan guru sekolah. Program ini telah dimulakan pada 2017 apabila kementeriannya mula ditubuhkan.
“Inisiatif itu adalah untuk melengkapkan program pembangunan guru di bawah Jabatan Pendidikan Negeri.
“Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk Bengkel Memperkasakan Kepimpinan dan Pengurusan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang ke-2, SKPMg2: Kualiti Sekolah Negeri Sarawak mengikut Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh Sarawak.
“Selain itu, Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak (SELES). Tahun ini menandakan SELES edisi keenamdan ia diadakan di Miri. Berdasarkan maklum balas daripada para peserta, ia kekal sebagai platform yang sangat baik untuk pendidik Bahasa Inggeris kami bertemu, berkongsi dan membentangkan projek dan inisiatif mereka yang dijalankan di sekolah masing-masing. Sejak 2017, SELES telah memanfaatkan 3,000 guru,” tambahnya.
Sementara itu, ujarnya, tiada kekurangan guru yang kritikal di Sarawak.
“Bagaimanapun, masih terdapat isu mengenai penempatan guru kerana pengkhususan mata pelajaran atau dikenali sebagai opsyen mengajar, dan hal berkaitan keluarga. Adalah menjadi dasar untuk meletakkan pasangan bersama dalam lokasi yang sama. Kami tidak mahu suami mengajar di Lundu, manakala isteri mengajar di Lawas,” katanya.
Jelasnya lagi, negeri ini telah mencapai nisbah 90:10 guru Sarawak dan bukan Sarawak.
“Kita harus berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas usaha mencapai nisbah seperti yang dicita-citakan oleh semua rakyat Sarawak,” jelasnya lagi.
Oleh NUR AIN OTSMAN