BEIJING: Warga Beijing memaksa diri mengharungi dingin malam untuk menyertai perhimpunan membantah sekatan ketat China terhadap COVID-19 dan memberi penghormatan terhadap mangsa yang maut dalam tragedi kebakaran di Urumqi.
Dalam tempoh beberapa jam saja, ratusan orang berkumpul di tebing sungai Liangma sewaktu suhu hampir membeku dan wartawan AFP di lokasi menyaksikan, ramai yang memegang kertas putih kosong, tanda simbolik bantahan terhadap penapisan maklumat.
Ada juga yang menyalakan lilin dan lampu dengan jambangan bunga diletakkan serta sekeping kertas putih bertulis ‘untuk mangsa yang terkorban dalam kebakaran Urumqi pada 24 November’.
Protes mulai memuncak di seluruh Shanghai dan Beijing ekoran kebakaran maut di Urumqi, ibu kota wilayah barat Xinjiang – kematian yang didakwa berlaku kerana perintah berkurung yang ketat menghalang perkhidmatan kecemasan sampai kepada mangsa tepat pada masanya.
“Kami semua rakyat Xinjiang! Hidup orang Cina! Hidup rakyat!” laung mereka yang berhimpun di tepi sungai, semalam.
“Saya di sini untuk masa depan saya. Anda perlu berjuang untuk masa depan anda sendiri.
“Saya tidak takut kerana kami tidak melakukan apa-apa kesalahan, kami tidak melanggar mana-mana undang-undang. Semua orang bekerja keras untuk hari esok yang lebih baik,” kata seorang wanita berusia dua puluhan bernama Tian kepada AFP.
Selain laungan itu, mereka dengan lebih jelas menentang dasar Sifar COVID-19 China malah menjerit: ‘Tidak rela jalani ujian asid nukleik, kami mahukan makanan!’
Beberapa yang lain melaungkan slogan bagi mengingatkan tragedi yang dikaitkan dengan peraturan ketat anti-COVID China.
“Jangan lupa mereka yang maut dalam nahas bas Guizhou… jangan lupa kebebasan,” kata seorang merujuk kepada kemalangan pada September lalu apabila bas yang mengangkut penduduk ke kemudahan kuarantin COVID-19 kemalangan, mengorbankan 27 penumpang.
“Ingat… wanita hamil Xi’an yang meninggal dunia, mereka yang tidak dapat mendapatkan rawatan perubatan di Shanghai,” kata seorang lagi.
Bagaimanapun, suasana protes sebahagian besarnya tenang, tetapi sekurang-kurangnya puluhan kereta polis diletakkan di jalan sekitar dan beberapa pegawai polis berjalan melalui orang ramai, merakam adegan itu.
Beberapa orang muda turut membuat ucapan, manakala yang lain menjerit slogan menuntut ‘kebebasan seni’ dan ‘kebebasan untuk menulis!’
Malah, pemandu kenderaan juga dilihat membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada penunjuk perasaan ketika mereka memandu di jalan berhampiran.
Wartawan AFP turut melihat polis cuba menyuraikan orang ramai sebelum jam 10:30 malam (waktu tempatan) namun mereka tetap berdiri teguh manakala kereta yang lalu lalang terus membunyikan hon.
Akibatnya, pihak berkuasa terpaksa menyekat jalan untuk menghalang kenderaan dan kira-kira jam 1.45 pagi, kira-kira 100 anggota polis tiba-tiba berarak ke arah orang ramai.
Puluhan penunjuk perasaan bersurai tetapi sekumpulan kecil iaitu kira-kira 100 orang kekal berdiri di bawah jambatan dengan sebahagian daripada mereka cuba membuat provokasi.
Tidak lama kemudian lebih banyak polis separa tentera datang dan ia mencetuskan kebimbangan berlakunya keganasan dan mendorong kira-kira separuh penunjuk perasaan meninggalkan lokasi itu dengan tergesa-gesa. – AFP