SARIKEI: PraPelancaran Kamus Mato Daro – Bahasa Melayu 2022 adalah detik pencetus pengumpulan kekayaan dialek tempatan dalam usaha memelihara bahasa tempatan di negeri ini.
Ini juga menunjukkan kegigihan semua pihak yang terlibat dalam merangka manuskrip kamus itu untuk terus memartabat dan mengukuhkan bahasa peribumi yang masih ada di negeri Sarawak.
PraPelancaran Kamus Mato Daro – Bahasa Melayu 2022 itu diadakan di Dewan Suarah Sarikei, hari ini yang diserikan dengan acara tradisional masyarakat Melanau.
Timbalan Residen Sarikei, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman yang merasmikan majlis itu berkata kerajaan Sarawak akan sentiasa memberi sokongan terhadap kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, agensi kerajaan dan sektor swasta.
Katanya, ini sejajar usaha menjadikan Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan keunikan pengiktirafan sama ada di peringkat dalam negeri atau luar negara.
“Melihat objektif program ini, ia untuk merangsang semangat jati diri dalam kalangan masyarakat Sarawak supaya lebih peka terhadap bahasa ibunda dan budaya warisan Sarawak.
“Ini akan memartabatkannya untuk tujuan pelestarian, menunjukkan kesungguhan pihak Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melanau Mato Daro – Bahasa Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak bagi memastikan bahasa sukuan di negeri Sarawak terus terpelihara,” katanya.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Penbinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai, Presiden Persatuan Melanau Sarikei, Sulaiman Buhari, Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melanau Mato Daro – Bahasa Melayu, Raduan Serap dan Pakar Rujuk Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melanau Mato – Bahasa Melayu, Dr. Santrol Abdullah.
Oleh EARL ANEK