SARIKEI: Ribuan penduduk membanjiri tempat letak kereta Dewan Suarah Sarikei, di sini bagi menyaksikan perasmian Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei 2022.
Pesta Nanas dan Buah-Buahan yang dijenamakan semula kini memasuki edisi ke-17.
Ahli Parlimen Sarikei, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, konsep penganjuran pesta ini juga dirancang dengan kerjasama pintar pelbagai pihak serta kos penganjuran dibiayai bersama pihak yang berkaitan.
“Objektif pesta ini adalah bagi mempromosi Bahagian Sarikei sebagai destinasi agro pelancongan yang kaya dengan hasil pertanian, sinonim dengan gelaran ‘Food Basket of Sarawak’.
“Ia juga untuk memantapkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarikei dan Sarawak khasnya serta meningkatkan sosioekonomi rakyat melalui aktiviti keusahawanan, jualan dan promosi produk.
“Bahagian Sarikei yang sinonim dengan aspirasi sebagai ‘Food Basket of Sarawak’ diharapkan dapat dipromosi dan diangkat sebagai Pusat Agropolis Wilayah Zon Tengah serta menjadi destinasi pilihan bagi Agro Pelancongan Negeri Sarawak sempena musim buah-buahan pada penghujung tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei 2022 di Pentas Utama, tempat letak kereta Dewan Suarah Sarikei, sebentar tadi.
Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, Bahagian Sarikei sangat bertuah kerana Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan dua projek rakyat iaitu Taman Agro Sungai Baji yang sedang dalam pembinaan serta Taman Agro Parit Bugis.
“Taman Agro tersebut yang menggunakan teknologi terkini sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada ekonomi digital dalam sektor pertanian, ternakan dan industri makanan yang boleh menembusi pasaran global pada masa akan datang.
“Bukan itu sahaja, Bahagian Sarikei mempunyai potensi yang amat besar untuk berkembang maju dalam bidang pertanian.
“Dengan kekayaan sumber dan bahan mentah yang terdapat di Sarikei dan sekitarnya, Bahagian Sarikei boleh berkembang sebagai penggerak utama aktiviti ekonomi terutamanya di kawasan wilayah tengah Sarawak,” katanya.
Huang berkata Bahagian Sarikei merupakan lokasi yang strategik terutamanya sebagai rangkaian utama logistik dalam memasarkan produk pertanian.
“Dengan siapnya Jalan Pan Borneo serta Jalan Sungai Pasi dan Jambatan Kuala Rajang yang sedang rancak dibina akan merancakkan lagi sosioekonomi di Bahagian Sarikei,” katanya.
Malah katanya, dengan tertubuhnya Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) yang merangkumi Bahagian Sarikei dan Mukah seluas kira-kira 10,786 kilometer persegi akan mampu membangunkan bahagian ini.
Oleh EARL ANEK