SIBU: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) sedang mengkaji untuk meluaskan program tuisyen percuma di bawah Yayasan Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM10 juta dalam Bajet Negeri 2023 bagi tujuan itu.
“Peruntukan itu bukan di bawah kementerian kami, tetapi kami cuba melihat bagaimana untuk mempertingkatkan program itu. Saya diberitahu ia hanya untuk tuisyen pelajar Tingkatan 5, atas sebab itu saya ingin menelitinya.
“Kita akan bekerjasama dengan Yayasan Sarawak bagaimana untuk menambah baik menggunakan peruntukan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Pogram Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik 50 (STEM50) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, hari ini.
Mengulas mengenai Program STEM 50, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, ia merupakan pendekatan holistik untuk meningkatkan jumlah pelajar dalam subjek Sains dan Matematik.
Katanya, program STEM 50 akan melibatkan empat komponen iaitu tuisyen percuma, lawatan sambil belajar, kuiz dan aktiviti.
“Pelajar akan mendapat tuisyen percuma dalam bidang sains dan matematik oleh guru. Selain itu, mereka (pelajar) juga akan menyertai aktiviti anjuran tiga rakan kongsi kami iaitu Sibu Digital Innovation Hub (DIH), Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan PUSTAKA.
“Kami juga akan menganjurkan lawatan sambil belajar untuk mereka dan untuk kuiz, seramai 15 pelajar terbaik akan mendapat komputer riba daripada saya sebagai tanda penghargaan,” katanya.
Beliau program STEM 50 merupakan pendekatan berterusan yang akan memupuk minat pelajar dari Tingkatan 1, serta untuk menyediakan mereka memasuki aliran Sains Tulen semasa memasuki menengah atas.
“Program bukan berbentuk ceramah motivasi, program ini melibatkan tuisyen, aktiviti dan penilaian. Ia dijalankan dengan modul berbeza yang turut melibatkan guru dan pengetua,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN