KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediamannya di Kuala Lumpur.
Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam hantaran du facebooknya sebentar tadi.
Dalam hantaran itu, Anwar antara lain menulis: “Pagi ini saya menerima kunjungan Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg bersama rombongan di rumah.”
Menurut Anwar lagi, GPS menjadi antara tunggak selain Barisan Nasional, Parti Warisan (Warisan) dan juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk Kerajaan Perpaduan yang dikemudikannya.
“Insya-Allah, hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuhkan dalam rencana melakar sebuah Malaysia yang lebih baik dan berterampilan,” katanya.
Anwar turut berkongsi gambar pertemuan itu, yang turut dihadiri isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.