KUCHING: Suphatra Klingprom dari Thailand dinobatkan sebagai Miss Tourism International 2022 peringkat akhir di Raia Hotel, semalam.
Keunggulan Suphatra mengatasi 39 pesaing lain untuk memenangi mahkota, selempang, trofi, dan ganjaran wang tunai RM10,000 selepas memenangi hati juri dan penghormatan panel hakim.
Ratu Cantik Malaysia, Phoebe Ong Yi Hui, berjaya mencapai kedudukan 10 terbaik dinobatkan sebagai Duta Pelancongan Ratu Asia Tenggara.
Laura Zabaleta (Vanezuela) memenangi Miss Tourism Queen Of The Year International, manakala Maria Angelica Pantaliano (Filipina) memenangi Miss Tourism Metropolitan International.
Crystal Huang Ruojia dari Singapura dinobatkan sebagai Miss Tourism Global, Alysa Cook (Amerika Syarikat) merangkul gelaran Miss Tourism Cosmopolitan International manakala Abigail Curd dari New Zealand dinobatkan sebagai Dreamgirl of the Year International.
Pertandingan edisi ke-25 pada tahun ini bertemakan ‘Mempromosikan Pelancongan, Budaya dan Persahabatan’ menyaksikan ratu cantik dari 40 negara bersaing untuk merebut gelaran berprestij itu.
Sebelum pertabalan ratu baharu, delegasi terlibat dalam lawatan promosi selama 16 hari ke beberapa tempat tarikan pelancong termasuk Bau dan Lundu.
Untuk makluman, selepas 28 tahun, Bandaraya Kuching sekali lagi diberi peluang menjadi tuan rumah Miss Tourism International setelah pertama kali dianjurkan di sini pada 1994.
Pertandingan itu dicadangkan oleh Presiden Miss Tourism International, Tan Sri Danny Ooi bagi mewujud dan memupuk hubungan baharu dalam kalangan negara yang mengambil bahagian melalui pemahaman yang lebih dekat mengenai budaya, adat dan tradisi negara satu sama lain.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri ini mempunyai banyak tawaran dan sentiasa terbuka untuk membina hubungan baik dengan dunia, sama ada persahabatan antarabangsa, pertukaran budaya atau aktiviti berkaitan pelancongan.
“Acara ini membawa dunia ke Sarawak, pada masa sama mempromosikan pelancongan, budaya, dan persahabatan melalui siri aktiviti yang berlangsung selama 18 hari secara keseluruhan.
“Selepas dua tahun disebabkan masalah pandemik Covid-019, negara kini perlahan-lahan kembali normal di mana kita boleh berinteraksi antara satu sama lain dengan lebih mudah dan lebih kerap, walaupun dengan semua langkah berjaga-jaga diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikan pada majlis itu. Teks ucapannya dibaca oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Katanya, selepas pembukaan perjalanan tempatan dan sempadan antarabangsa secara beransur-ansur, beliau menjangkakan lebih ramai pelancong dan pelawat ke Sarawak.
Oleh Mohd Neenatul Aizal