KUCHING: Sarawak perlu menggapai pertumbuhan ekonomi enam hingga lapan peratus setiap tahun untuk menggandakan saiz ekonomi kepada RM282 bilion menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak terus komited untuk mewujudkan persekitaran mesra perniagaan kepada pelabur.
“Berdasarkan prestasi ekonomi Sarawak pada 2022 dengan pertumbuhan dianggarkan 5.5 hingga 6.5 peratus, sasaran ini berada dalam jangkauan.
“Hasil negeri kita untuk 2022 dianggarkan pada RM10.159 bilion adalah yang terbesar setakat ini dalam sejarah ekonomi Sarawak dan kita akan terus mencatatkan peningkatan hasil yang dianggarkan pada RM11.035 bilion untuk tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan Sarawak 2022 (EOYS) di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Sementara itu, Premier Sarawak berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat menyedari kesukaran yang dihadapi komuniti perniagaan akibat wabak Covid-19 sebelum ini.
Oleh sebab itu, katanya, bantuan terkini adalah melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 di mana sejumlah RM700 juta telah diluluskan untuk melaksanakan inisiatif Variasi Harga (VOP).
Katanya, kunci untuk merealisasikan Sarawak sebagai ekonomi maju menjelang 2030 ialah penglibatan perniagaan tempatan dalam melabur dalam projek di Sarawak.
“Kerajaan GPS akan meningkatkan usaha dalam mempromosikan keusahawanan dan pelaburan di kalangan rakyat Sarawak yang berminat untuk membangun dan melaksanakan projek mereka,” katanya.
Majlis EOYS dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perindustrian Terminal dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) bersama Dewan Perniagaan Perindustrian Sarawak (SCCI) sempenaUlang Tahun Ke-70 SCCI.
Untuk rekod, Dato Sri Tay Chin Kin telah menerima Anugerah Usahawan Cemerlang.
Oleh NUR AIN OTSMAN