KUCHING: Usaha ke arah pembangunan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat perlu diperkasakan oleh semua pihak bagi merealisasikan cita-cita Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha menggalakkan budaya pembelajaran merupakan hasrat murni yang perlu dicapai oleh semua lapisan masyarakat.
“Pembangunan Sarawak ini bergantung kepada masyarakat yang berpengetahuan, berfikiran positif, rajin dan berdaya saing.
“Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan satu strategi yang dinamakan sebagai Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS2030) yang menyasarkan Sarawak menjadi negeri maju dalam semua aspek menjelang 2030.
“Ekonominya di pacu oleh data dan inovasi serta menikmati kemakmuran ekonomi yang inklusif dalam persekitaran yang lestari.
“PCDS2030 tidak dapat mencapai objektifnya jika kita masih cetek pengetahuan mengenai apa yang kita lakukan bersama-sama bagi mencapai hasrat murni PCSD2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Buku Kuching 2022 di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.
Pada masa yang sama, Datuk Roland berkata Industri Buku adalah penting kepada masyarakat dan Negara untuk menghasilkan buku yang baik agar dapat dibaca oleh semua semua masyarakat.
“Industri buku merupakan salah satu industri penting dan telah berkembang pesat di Malaysia dengan nilai ekonominya mencecah RM320 Juta pada tahun 2020,” tambahnya.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan itu turut menggesa sepenuhnya usaha yang baik itu haruslah digalakkan kepada orang ramai terutama generasi baru Sarawak daripada pelbagai latarbelakang sosial dan ekonomi untuk mula menulis, terus menulis dan menerbitkan bahan bacaan.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo serta tetamu jemputan yang lain.
Oleh MOHD NEENATUL AIZAL