KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) — Persidangan Parlimen ke-15, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan diadakan pada 19 Disember.
Anwar yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan pada sidang itu bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri.
“Usul pertama selain daripada angkat sumpah adalah usul dari kerajaan iaitu undi percaya. Jadi tidak timbul keresahan kita tentang keabsahan yang ada,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai perdana menteri di Sungai Long Golf & Country Club, Kajang dekat sini hari ini.
Selain Pakatan Harapan (PH), beliau turut mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.
“Soal kestabilan tidak sepatutnya berbangkit,” katanya.
Anwar berkata pada sidang Parlimen itu juga kerajaan akan membentangkan dan meluluskan emolumen bagi penjawat awam terlebih dahulu, sebelum Bajet 2023 dibentangkan semula.
“Bajet, sudah pasti kita ada emolumen jelas (kepada penjawat awam) pertama pada 19 Dis ini. Supaya penjawat awam tidak perlu risau.
“Kemudian berikan tempoh kira-kira sebulan, kita akan bentangkan bajet baharu, atau mungkin bajet yang disemak semula,” katanya.
Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Okt lepas oleh Menteri Kewangan ketika itu Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion, dan tiga hari kemudian Parlimen dibubarkan bagi memberi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.
— BERNAMA