KUCHING: Jangan cuba mengapi-apikan sentimen kaum dan agama di Sarawak ketika negara berdepan kemelut politik pada ketika ini, kata Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman.
Katanya, apa yang diharapkan tiada pihak cuba melakukan provokasi dan menyemarakkan sentimen perkauman termasuk menyebarkannya sosial media.
“Sekarang ini kita melihat ada satu krisis yang sedang ditangani di peringkat Persekutuan. Namun, apa yang kita saksikan di Sarawak dalam media sosial dan lapangan, ada beberapa pihak cuba menyemarakkan sentimen perkauman dan menggunakannya sebagai modal politik.
“Jadi saya merasakan ini amat berbahaya,” katanya pada sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Malam tadi, polis menahan lima individu termasuk ketua sebuah parti politik di sini untuk siasatan lanjut berikutan tiga laporan polis dibuat berkaitan klip video yang viral dikongsi dalam What’sApp dan facebook petang semalam.
Dalam video itu, seorang lelaki dilihat bercakap menerusi pembesar suara di hadapan sebuah hotel di Jalan Tun Abang Haji Openg dan berdekatan sebuah pusat komersial di Jalan Datuk Tawi Sli, mengutuk usaha kerjasama antara Gabungan Parti Sarawak (GSP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam video yang disebarkan itu.
Fazzrudin juga memohon kepada pihak yang tidak bertanggungjawab agar tidak mengganggu keharmonian dan perpaduan kaum yang ada di Sarawak.
“Jangan kita mengapi-apikan sentimen perkauman dan sentimen agama demi masa depan anak-anak kita,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN