KUCHING: Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng turut memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Sarawak, setelah Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke mula bebuat demikian pagi ini.
Guan Eng dalam hantaran di akaun Facebook hari ini, mengambil tindakan sama dengan memohon maaf kepada Premier Sarawak dan Kerajaan Sarawak atas tegurannya yang mungkin menyinggung perasaan.
Menegaskan masa depan negara lebih penting ketika ini, Ahli Parlimen Bagan, itu berkata: “Marilah kita membuat permulaan baharu untuk bekerjasama bagi memelihara kepelbagaian, keterangkuman dan perpaduan masyarakat kita yang berbilang kaum dan budaya.”
Bekas Menteri Kewangan yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga berkata, permulaan baharu itu juga untuk melindungi Perlembagaan Persekutuan demi manfaat semua di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Untuk rekod, Guan Eng pernah mendakwa pada 2019 bahawa Sarawak bakal bankrap dalam tempoh tiga tahun selagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkuasa.
Terdahulu, Loke mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediaman Pengerusi GPS itu di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, Petra Jaya di sini, hari ini.
Pada pertemuan itu, Loke menyampaikan permohonan maaf secara terbuka DAP kepada kerajaan dan rakyat Sarawak atas sebarang kenyataan yang menyinggung perasaan yang dibuat oleh pemimpin parti itu, selama ini.