SEAGAM TERATAK KASIH BONDA
Andainya dirimu pulang
teratak bonda pasti menggamit megah hadirmu
pandanglah tiap ceruk
ada lakaran pengorbanan
ada kisah-kisah pengalaman.
Di situlah
abadinya kesabaran bonda
bersama jerih payahnya
menyulam keperibadian insan
pada ruang jiwa dan fikirmu yang kontang.
Santunilah
mekar-mekar kasih bondamu
janganlah dikau khianati tulus cintanya
sabarlah melayani tingkah usianya
asbab kasih bondamu jua
dirimu sejahtera.
Kausiramilah
kuntum-kuntum kenangan itu
pasakkan teratak nan agam ini
silaturrahmi
di puncak bahagia.
Mohammad Jazuli Madenan@Asseman
Kampung Lubuk Punggur, Simunjan, Sarawak.
Membisu Kerana Dusta
Sepinggan dusta retak di atas kolam sifat lalu terhambur deraian perca nista. Garis runcing berterusan mengerat telapak jiwa, dan setiap kali mengutip serpih itu aku teresak-esak duka dan tidak mampu mengelus nikmat bahagia. Terfikir sejenak kenaifan yang menjahit diri ketika itu meski menelan cantuman rawan sekali pun tidak mungkin boleh menyusup berpulang percaya. Di kejauhan sana kau diam tanpa bicara menghadang pandangan rancak mencipta kepalsuan tenang jernih dan terus memutar musim kering yang menguncup jalan penyelesaian setelah merecik manis durja kata.
Adam Buck Lee
26 September 2022
Kuala Lumpur
Kemahsyuran
Kemahsyuran
Nikmat keriangan untuk semua
Kaki yang lemah akan digagah untuk meraih keriangan
Tubuh yang lemah akan digagah untuk merangkul keriangan
Tubuh yang gagah juga berkejaran bersama
Tidak sesekali meninggalkan segala ruang dan jurang
Lebih kejam dengan menikam pantas sekujur tubuh yang lemah
Menyakiti dengan rela
Walau perlu bernafas dalam lumpur
Satu energi yang kuat akan mengalir dengan deras
Bagaikan letusan letupan gunung berapi
Mendidih dengan hangat sekali
Sekali sekala bersama amukan dahsyat!
Di situlah,
Nikmat keriangan untuk semua
Demi kemahsyuran
Walau perlu hilang dalam ramai
Sunyi dalam bingar
Esak dalam senyuman
Iffah Imani
Limbang, Sarawak.