KUCHING: Orang ramai terutama nitizen diingatkan supaya tidak membuat ‘posting’ atau komen sensitif berkisar kepada sesebuah parti dalam proses pembentukan kerajaan baharu.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tindakan itu boleh menimbulkan keresahan serta merosak ketenteraman dalam masyarakat majmuk.
Sehubungan itu, beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau pengguna media sosial dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pelaku.
“Tindakan ke atas individu yang menyebarkan berita palsu khususnya berkaitan pembentukan Kerajaam Persekutuan yang baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah perlu, kerana mengelirukan banyak pihak.
“Sekarang kita lihat orang ramai begitu pantas memuat naik berita palsu, sampaikan kita sendiri yang percaya.
“Sampaikan ada yang memuat naik di media sosial bahawa, kalau kita sokong sesebuah parti ini, kita umpama sokong parti yang tidak baik.
“Mereka sanggup memuat naik isu-isu yang sensitif,” katanya pada sidang media sempena Festival Muzik dan Seni Antarabangsa (SIFMA) 2022 di sini petang ini.
Abdul Karim berkata, penyebaran berita tidak sahih itu, secara tidak langsung dapat merosakkan ketenteraman di negara
Katanya, masyarakat hendaklah menyerahkan perkara berhubung pembentukan Kerajaan Persekutuan ini kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Semuanya nanti akan terjawab apabila Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan kenyataan,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN