KUCHING: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan pandangan supaya dibentuk sebuah kerajaan perpaduan.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Fadillah Yusof sebentar tadi.
Fadillah mengetuai empat Ahli Parlimen daripada GPS mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Kuala Lumpur pagi tadi.
“Tuanku memberi pandangan mengenai perlunya mewujudkan kerajaan perpaduan.
“Saya tidak dapat memberi keputusan, kita hanya dengar pandangan baginda dan membawa kepada pucuk kepemimpinan GPS iaitu Premier Sarawak.
“Seperti mana yang telah diputuskan oleh GPS melalui kenyataan media sebelum ini, GPS memang berhasrat dari segi sokongannya kalau dapat menubuhkan kerajaan.
“Kita juga akan patuh dengan setiap keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong,”katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Undangan Negeri Sarawak petang ini.
Fadillah turut menjelaskan bahawa sekiranya itu keputusan Yang di-Pertuan Agong, GPS akur untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.
“Setakat ini kita telah nyatakan (calon) tapi tunggulah keputusan baginda,” katanya.
Laporan media pagi tadi menyebut, Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama tiga lagi Ahli Parlimen mewakili GPS menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Turut sama Dato Sri Alexander Nanta Linggi (PBB); Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Datuk Aaron Dagang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Oleh AZREEN KERIA