KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan esok bagi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu di Istana Negara esok.
“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya.
Ahmad Fadil berkata Seri Paduka menyeru agar seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqamah dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu selesai.
“Sesungguhnya, masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat dan teliti,” katanya.
— BERNAMA