KUCHING: Perjanjian Penyelesaian Secara Komersial (CSA) antara kerajaan Sarawak dan Petronas dua tahun lalu, membolehkan negeri ini mengawal semua aktiviti perlombongan minyak di kawasan pesisir.
Malah ia juga bagi membolehkan pajakan perlombongan danlesen penerokaan minyak keopada syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros), milik kerajaan negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali bagaimanapun berkata CSA itu mengandungi klausa kerahsiaan yang mengikat, melarang kerajaan negeri mendedahkan syarat-syarat yang ditandatangani antara kerajaan Sarawak dan PETRONAS pada 7 Disember 2020.
“Bagaimanapun, objektif utama CSA adalah untuk membolehkan negeri ini meningkatkan hasil daripada minyak dan gas yang ditemui dan dihasilkan di dalam negeri Sarawak.
“Ini juga membolehkan penyertaan yang lebih besar daripada syarikat negeri dalam industri minyak dan gas di huluan dan hiliran bagi mendapatkan bekalan gas mencukupi untuk menyokong Pelan Induk Gas Negara.
“Objektif ini akan direalisasikan melalui Rangka Kerja Perundingan yang terdiri daripada wakil peringkat tinggi daripada kerajaan negeri, Pertronas dan Petros,” katanya menjawab See Chee How (PKR-Batu Lintang) pada sesi pertanyaan di sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Hasidah berkata, Petros dibenarkan untuk memperoleh kepentingan ekuiti di beberapa kawasan luar pesisir di bawah Kontrak Perkongsian Petroleum, dan bagi kawasan penerokaan baharu terbuka kepada Petros.
“Peluang ini tidak tersedia kepada Sarawak dan Petros sebelum CSA ditandatangani,” katanya.
Katanya, Memorandum Persefahaman (MoU) juga telah ditandatangani antara Petros dan Petronas di mana yang kedua akan menyediakan kepada negeri 1,200 kaki padu standard sehari (mmscfd) gas asli menjelang 2030 untuk menyokong industri dalam negeri.
Malah, Petros telah menjadi pembekal gas kepada industri di Miri dan Bintulu, dan berusaha ke arah menjadi pengedar tunggal Gas Petroleum Cecair di negeri ini.
Oleh NICKELYSON LAKUN