Oleh Mohd Ali bin Salim (Munsyi Sastera)
TAHNIAH kepada penulis cerpen “Tanah Pusaka” kerana berjaya mengangkat isu masyarakat menjadi cerita menarik untuk difikirkan oleh pembaca. Penulis menjadikan bahan serius untuk disajikan kepada pembaca dan bukan sekadar permainan bahasa. Penulis memilih bahan penting yang berlaku dalam masyarakat untuk diceritakan dengan kecerdikan mengangkat hal tersebut menggunakan teknik bercerita.
Sinopsis
Ayim menunggu respon abah. Abah tetap dengan keputusannya. Abah tidak setuju tanahnya dikorek untuk air dan elektrik. Ayim bimbang tentang keadaan isterinya yang akan bersalin dan memerlukan air bersih. Abahnya marah apabila dia bercadang hendak membawa isterinya tinggal di rumah mertua selepas bersalin. Abahnya sakit cirit birit tetapi enggan ke klinik. Apabila abah dalam keadaan tidak bermaya, Ayim membawanya ke hospital. Doktor menjangka abahnya terkena taun. Walaupun abah tahu punca penyakit itu ialah air, namun dia tetap berbalah apabila dikaitkan dengan masalah air. Ayim tekad berpindah ke rumah mertua. Abahnya terkesan kerana rindu kepada Ayim dan lebih-lebih lagi akan cucunya. Oleh itu, akhirnya dia bersetuju tanah mereka dikorek untuk bekalan air dan elektrik.
Konflik
Konflik merupakan unsur penting dalam karya. Konflik dapat mengaktifkan watak dan seterusnya menggerakkan cerita dengan pantas. Oleh yang demikian, konflik amat penting dalam merancakkan plot hingga membentuk kemuncak dan menurun ke titik penutup. Dalam cerpen ini penulis telah mereka konflik dengan dialog, situasi dan gerak watak. Penulis telah menghadirkan konflik pada awal cerita seperti berikut;
“Abah.”
Orang tua itu hanya menoleh tanpa berkata sepatah pun kepada Ayim. Ayim masih menantikan jawapan daripada ayahnya. Namun, tiada jawapan daripada ayah. Hanya renungan tajam.
“Bukankah abah dah cakap? Jangan tanyakan soalan itu lagi. Abah tetap dengan keputusan abah.” Kali ini orang tua itu menjawab. Mengesahkan jawapan yang tidak pernah berubah sejak bertahun lalu. Masih jawapan yang sama.
Permulaan cerita seperti petikan di atas, membuktikan bahawa penulis sudah bijak bermain dengan konflik sejak awal lagi bagi menimbulkan beberapa kesan tertentu seperti memikat ingin tahu pembaca tentang apakah sebenarnya berlaku?; Apakah pertanyaan Ayim? Mengapakah abah tidak menjawab? Mengapakah abah tidak suka? Konflik pada awal cerita yang membawa kepada soalan-soalan tersebut boleh memikat pembaca untuk terus membaca bagi mengetahui jawapan. Penulis menghadirkan konflik dengan mencipta situasi melalui gerak laku watak. Gerak laku abah yang hanya menoleh, tidak bercakap dan merenung tajam menunjukkan bahawa timbulnya konflik. Tulisan penulis membawa makna bahawa watak abah itu berkonflik dengan Ayim kerana reaksinya menunjukkan bahawa dia tidak suka akan sesuatu yang dilakukan oleh Ayim. Konflik itu dijelaskan lagi pada perenggan berikutnya dengan kata-kata watak abah, iaitu “Bukankah abah dah cakap? Jangan tanyakan soalan itu lagi. Abah tetap dengan keputusan abah.” Konflik awal yang tersusun begini menimbulkan pelbagai soalan dan saspens. Peranan konflik pada awal cerita ini penting bagi menerangkan situasi dan isu yang berlaku antara dua watak tersebut. Selanjutnya reaksi abah berbalas oleh jawapan Ayim seperti berikut;
“Tapi, abah… ini untuk kebaikan kita semua. Ayim tak dapat tahan lagi kalau kita hidup macam ni. Tak ada air, tak ada elektrik,” balas Ayim.
Jawapan Ayim menjelaskan lagi konflik itu dengan mendedahkan beberapa maklumat berkaitan pertentangan dan masalah antara dua watak ini. Ayim mendedahkan bahawa berlaku konflik dalam dirinya hingga dia seolah-olah tidak tahan lagi. Punca konflik itu ialah tentang masalah asas, iaitu air dan elektrik.
Yang menariknya dalam cerpen ini ialah cara penulis menambahkan ketegangan antara dua watak melalui respons watak abah. Dalam keadaan Ayim yang tertekan, respons abah tidak mengurangkan tekanan itu, sebaliknya menambah ketegangan seperti berikut;
Abah hanya terus mendongak ke siling sambil mendagu. Orang tua ni cukup degil. Kata hati kecil Ayim.
“Apa yang susah? Bukannya kita sekarang baru merasa tak ada air, tak ada elektrik? Sejak kecil lagi kau tu dah rasa. Sekarang baru nak merungut?” kata abah lagi.
Petikan di atas menandakan bahawa konflik itu terus berkembang kerana respons abah tidak menenangkan Ayim. Abah menempelak Ayim bahawa konflik yang dinyatakan oleh Ayim itu merupakan perkara biasa yang sudah mereka hadapi sekian lama. Respons ini sudah tentu menambah tekanan dalam diri Ayim dan mengakui bahawa abahnya degil dan tidak mudah untuk memahami keadaannya lantas dia berterus terang akan masalahnya seperti berikut agar ayahnya bersimpati;
“Isteri Ayim tak lama lagi akan bersalin. Macam mana dia nak berpantang di sini dengan keadaan kita macam ni?”
Penjelasan oleh Ayim dengan harapan ayahnya boleh bertoleransi atau menaut simpati abah, sebaliknya respons abah semakin menambahkan konflik seperti berikut;
“Mak kau elok saja. Ni dah nak jadi bapa pun kau, kita dah terbiasa saja tanpa air dengan elektrik,” kata abah. “Dah, dah! Jangan pujuk aku lagi,” kata abah lalu keluar dari rumah.
Jawapan abah dalam petikan di atas langsung tidak membantu mengurangkan ketegangan. Watak abah digambarkan sebagai seorang yang payah untuk diajak berunding. Dia tetap dengan keputusannya, malah dia beredar meninggalkan Ayim dengan gambaran dia tidak mahu melayan alasan Ayim. Akibatnya konflik dalaman diri watak Ayim berterusan walaupun dia sudah cuba memujuk abah. Situasi tekanan dalam diri Ayim diceritakan seperti berikut;
Ayim menarik nafas marah. Dia pujuk hatinya untuk berdamai walaupun tidak menyokong keputusan abah. Reena menghampiri suaminya. Dia hanya tenung si suami yang kemudian membalas senyum manis dalam keperitan.
Ayim yang sejak awal cerita berkonflik dengan abah hingga abahnya beredar, masih tidak mendapat sebarang keputusan daripada abah yang boleh mengurangkan tekanan dalam dirinya. Akibatnya penulis menyatakan bahawa Ayim marah dan menghadirkan watak isteri untuk meredakan ketegangan suami. Watak Reena sebagai isteri yang baik cuba menenangkan keadaan dengan mengemukakan cadangan berikut;
“Reena berpantang saja di rumah ibu bapa Reena, ya bang. Jangan kerana Reena, abang dan abah bergaduh.”
Cadangan daripada Reena yang dipersetujui oleh Ayim walaupun tujuannya untuk mengelak daripada terus berkonflik sebaliknya menimbulkan konflik juga apabila diluahkan kepada abah seperti berikut;
“Abah, mak. Tarikh bersalin Reena semakin dekat. Kami bercadang nak balik ke rumah ibu dan bapa Reena,” kata Ayim pada malam itu.
“Kenapa nak balik ke sana?” tanya mak.
“Kami berpendapat yang di rumah ibu dan bapa Reena lebih selesa untuk Reena berpantang dan anak kami tinggal di sana,” jawab Ayim.
Penulis melanjutkan konflik dalam ceritanya melalui respons abah. Abah tidak bersetuju dengan cadangan itu apabila menempelak Ayim;
“Kenapa? Di sini tak selesa?” tanya abah.
“Bukan macam tu, di sana lebih mudah dengan ada keperluan macam air… ,” suara Ayim perlahan di hujung kata-kata.
“Kalau macam tu, kalau abah dan mak jatuh sakit, kalian pun akan pergi tinggalkan kami. Macam itu?” kata abah.
Kata-kata abah seperti petikan di atas menjadi gaya penulisan penulis menambah konflik. Kata-kata abah itu menjadikan seorang anak serba-salah dan tertekan seperti dinyatakan oleh Ayim:
“Bukanlah, abah… mak. Kenapalah susah nak faham dengan maksud baik Ayim?” kata Ayim.
Konflik ini terus berpanjangan walaupun Ayim menafikan sangkaan abah. Abah pula semakin menunjukkan rasa tidak puas hati dengan menambah sangkaan-sangkaan yang semakin mengeruhkan ketegangan dengan kesimpulan sendiri seperti berikut;
“Dah memang macam tu bukan? Kesimpulannya, kalian berdua tak faham dengan kepayahan kami berdua. Mak kamu membesarkan dan kamu satu-satunya anak kami sanggup meninggalkan kami berdua di sini? Hanya kerana api dan air?” soal abah.
Pada bahagian peristiwa lain penulis juga bijak menghadirkan konflik. Ayim pada mulanya cuba mengelak daripada bercerita tentang punca abah sakit kerana mengelak konflik seperti kata penulis;
Abah dimasukkan ke dalam wad. Ayimlah yang menjaga abah untuk beberapa hari ketika dia ditahan di dalam wad. Semasa di dalam wad, Ayim langsung tidak menyebut hal berkenaan dengan air tidak bersih kerana tidak mahu abahnya bertambah sakit. Abah memang terkenal dengan sikap sensitif apabila bercakap tentang isu air. Dia ketepikan dahulu perkara itu sebelum abah benar-benar sihat.
Namun apabila Ayim bercerita tentang punca abah sakit, konflik terus tercetus. Jawapan abah seperti menduga maksud Ayim dengan andaian-andaian tersendiri dan pasti reaksi kemudiannya menimbulkan konflik antara dua anak-baranak seperti berikut;
“Abah tahu tak kenapa abah masuk hospital hari tu?” soal Ayim. Dia sengaja tidak melihat wajah abah. Dia tahu abah degil orangnya.
“Tahu. Taun. Penyakit taun.”
“Abah tahu apa puncanya?”
“Makanan tidak bersih. Kenapa Ayim tanya abah?”
“Sebab air sungai kita tidak bersih macam dulu, abah. Sungai kita telah tercemar.” Jawab Ayim. Kali ini dia pandang wajah orang tua itu.
“Jadi bagaimana? Kita panggil orang kerajaan untuk pasang air bersih? Sedangkan di hospital, air paip yang orang bandar tu minum hari-hari pun boleh buat orang sakit,” jawab abah.
Respons Ayim banyak mengalah kepada sikap abahnya sejak awal cerita. Namun konflik yang berpanjangan tanpa abah memberi peluang bertoleransi mengakibatkan Ayim membuat keputusan tegas yang meruncingkan konflik seperti berikut;
“Baiklah. Ayim dah bertekad. Selagi kampung kita tak ada air, tak ada elektrik, Ayim takkan kembali ke sini,” jawab Ayim yang menutup perbalahan pada hari itu. Jika dia bertahan, dia tak tahulah apa yang akan terjadi pada keluarga kecilnya. Abah tidak boleh dibawa berbincang. Biarlah dia dengan tanah pusaka kesayangannya itu. Itu penting baginya.
Keesokan harinya, Ayim dan isteri berpindah ke rumah keluarga isterinya walaupun sempit kerana selain mereka, masih ada adik-beradik lain Reena yang masih tinggal di situ. Reena ikut sahaja apa saja keputusan si suami. Kelibat abah tidak kelihatan di rumah semasa mereka berkemas. Hanya ibu dengan linangan air mata.
Konflik antara dua beranak itu meruncing hingga Ayim membawa isterinya berpindah kerana memikirkan keperluan keluarga kecilnya. Hal ini mendatangkan kesan kepada watak abah apabila tindak balas Ayim itu berlaku. Abah terkesan akibat konflik yang berlaku;
Dan, malam itu, bermulalah episod abah dan ibu tinggal keseorangan. Tipulah jika abah tidak tersasul memanggil Ayim. Ibu tahu, abah rindukan Ayim seperti dirinya. Namun, rindu itu abah pendam dalam jiwa. Ibu pula kadangkala membuat panggilan video dengan satu-satunya anak mereka itu. Terubat sedikit kerinduan.
Selain konflik antara dua watak. Konflik juga dihadirkan oleh penulis untuk membangkitkan tentang sesuatu isu dan membuktikan bahawa wujud konflik antara manusia dengan persekitaran khususya berkaitan kemudahan asas seperti berikut;
Ayim perlahan-lahan bangun. Dilihatnya tong tadahan hujan benar-benar kosong. Sudah lama hujan tidak turun. Ayim mengeluh sendirian. Dia ambil baldi biru kosong lalu menuju ke sungai yang terletak dalam 5 minit dari rumahnya. Sambil dia berjalan ke sana keseorangan, dia merungut sendirian. Kalaulah rumahnya ada paip air bersih, buat apa pun mudah sekali. Tetapi sampai bilakah keadaan mereka harus begini? Tidak lama lagi isterinya akan bersalin. Mana mungkin anaknya nanti minum air sungai yang entah bersih entahkan tidak. Kalau hari-hari dia perlu beli sekotak mineral untuk minum dan memasak, bukankah itu membazir? Bagaimana kalau hendak mandi? Semua perkara dalam fikirannya bercelaru dan buntu. Sudah ke-5 kali Ayim berulang-alik mengangkut baldi berisi air. Semasa dia berada di sungai tadi, kelihatan air sungai agak kering.
Jelas sekali penulis menerusi karyanya berjaya membangunkan konflik cerita dengan membina situasi, isu, watak dan dialog bagi menyatakan sesuatu ketegangan berlaku dan akhirnya konflik itu diselesaikan pada akhir cerita seperti berikut;
“Baiklah, abah. Ayim akan bawa abah ke pejabat kerajaan. InsyaAllah semuanya akan dipermudahkan,” kata Ayim dalam senyuman. Syukur.
Dan, akhirnya buat sekian kalinya, kampung mereka bercahaya pada waktu malam tanpa perlu bunyi bising dari generator dan air bersih daripada paip rumah masing-masing. Ayim datang ke rumah dan memberitahu mereka sekeluarga akan kembali ke rumah itu pada minggu hadapan. Senyuman terukir pada wajah ibu dan abah.
Abah mengelap titisan mutiara air mata yang mengalir daripada matanya. Dia akhirnya mengaku salah kerana kedegilannya tidak menguntungkan sesiapa malah memisahkan hubungan kekeluargaan antara seorang ayah dengan anak. Bersyukur dia sempat berubah sebelum semuanya terlambat.
Selain itu, cerpen ini telah menyampaikan isu yang berlaku dalam masyarakat khususnya keperluan kemudahan asas seperti air dan elektrik yang menyebabkan kekangan dihadapi oleh masyarakat. Isu kekurangan kemudahan asas ini perlu ditangani oleh pihak berwajib agar kesejahteraan masyarakat terjamin.
Kesimpulannya, cerpen ini menampakkan kekuatan dari segi pembangunan konflik yang mencergaskan pergerakan plot cerita. Penulis menggunakan kepelbagaian teknik untuk mencipta konflik dalam cerita seperti perwatakan, dialog, situasi, emosi dan isu dalam masyarakat. Sebuah cerita yang menarik dan berkembang, asas geraknya adalah daripada konflik yang terbina dalam plot cerita hinggalah konflik itu meruncing dan dengan keputusan intelek penulis mencari jalan penyelesaian terhadap konflik tersebut. Tahniah kepada penulis, teruslah menulis kerana anda berbakat dan mempunyai kemahiran dalam teknik plot yang akhirnya berjaya membangunkan sebuah cerita yang bermesej untuk masyarakat.