KUCHING: Yang di-Pertuan Agong perlu bertemu dengan Ahli Parlimen seorang demi seorang untuk menentukan calon Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia kaedah terbaik untuk menyelesaikan kekusutan yang melanda negara sekarang setelah berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 Sabtu lali.
Katanya, ‘drama’ itu berterusan dengan beberapa parti gabungan terutama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang sedang berusaha keras untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Cara terbaik, pada pandangan peribadi saya, untuk Yang di-Pertuan Agong tahu siapa (calon perdana menteri) yang mendapat sokongan (majoriti) Ahli Parlimen untuk memimpin kerajaan adalah dengan memanggil mereka satu persatu.
“Kalau kita minta Ahli Parlimen menandatangani akuan bersumpah (SD), kadang-kadang mereka takut kerana mereka mungkin perlu menandatangani di hadapan presiden parti mereka.
“Sama seperti pelantikan Dato Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong menemui Ahli Parlimen seorang demi seorang.
“Dari situ kita akan tahu siapa yang mendapat sokongan Ahli Parlimen secara tertutup,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Karim menjawab laporan media awal hari ini apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan bahawa Ahli Parlimen BN yang menandatangani dokumen atau SD untuk mencalonkan sesiapa sahaja sebagai calon perdana menteri akan melanggar ketetapan parti.
Menurut Karim, kaedah itu mungkin memakan masa, tetapi ia adalah cara terbaik untuk menentukan calon perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti.
“Kaedah itu mungkin memakan masa, tetapi ia adalah cara terbaik untuk menentukan calon perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti,” katanya.
Katanya, ia juga akan mengelakkan sebarang insiden di mana Ahli Parlimen mungkin terpaksa membuat perjanjian tanpa kelulusan mereka.
“Sama seperti beberapa gambar yang tular di media sosial hari ini (mengenai pertemuan antara pemimpin BN dan Pakatan Harapan), terdapat seorang Ahli Parlimen Sarawak di kalangan mereka.
“Bagaimana dia boleh berada di sana? Adakah dia bersama BN atau datang dari tempat lain?
“Pertemuan pagi ini sepatutnya antara Zahid dan pemimpin PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi Ahli Parlimen Sarawak juga ada di sana,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN