KUCHING: Jumlah perdagangan luar negeri meningkat 1.5 kali ganda daripada RM91.1 bilion tahun lalu kepada RM141.2 bilion pada tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, permintaan luar yang kukuh dicatatkan dalam tempoh lapan bulan pertama 2022.
“ Kedua-dua eksport dan import meningkat dua angka masing-masing sebanyak 61.1 peratus dan 38.6 peratus.
“Harga komoditi yang kukuh terus memacu pertumbuhan eksport, terutama dalam sektor minyak dan gas, aluminium, aloi fero serta minyak sawit mentah. Harga minyak dijangka kekal tinggi dengan harga purata berlegar sekitar AS$100 setong untuk 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Pembekalan (2023), 2022 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata penggunaan swasta dijangka berkembang pada 6.8 peratus tahun ini dipergiatkan oleh pemulihan dalam pasaran buruh dan normalisasi aktiviti ekonomi.
“ Tambahan pula, pelancaran Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dan Bantuan Keluarga Malaysia, memberi sokongan tambahan kepada perbelanjaan pengguna. Dalam tujuh bulan pertama, import makanan dan minuman meningkat sebanyak 25.6 peratus,” katanya.
Sementara itu, pelaburan awam dan swasta diunjur mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 19.3 peratus pada tahun ini terutamanya didorong oleh pelaburan awam tinggi yang diperuntukkan untuk projek pembangunan.
“Import jentera dan peralatan serta barangan perantaraan berkembang sebanyak 52.5 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
“Pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan juga menunjukkan peningkatan bagi sembilan bulan pertama berjumlah RM6 bilion, khususnya dalam industri elektrik dan elektronik,” katanya.
Dengan kebanyakan petunjuk ekonomi menunjukkan arah aliran menaik, ekonomi Sarawak berada di landasan pemulihan.
“Walaupun kami menjangkakan ekonomi domestik akan bertambah baik secara beransur-ansur dan menjadi lebih kukuh untuk baki 2022 dan 2023 nanti, kami juga menyedari risiko penurunan yang mungkin menjejaskan ketidaktentuan global seperti perang Rusia-Ukraine serta dasar sifar COVID-19 China.
“Aktiviti perdagangan global yang perlahan dijangka berlanjutan sehingga 2023, dan dengan jangkaan harga minyak akan menurun, ekonomi Sarawak diunjurkan mencatat pertumbuhan antara 5.0 peratus hingga 6.0 peratus pada 2023.
“Namun begitu, pertumbuhan positif ini menunjukkan ekonomi kita terbukti untuk berdaya tahan terhadap gangguan pandemik, dibantu oleh inisiatif tindak balas kecemasan Kerajaan Negeri, dan program vaksinasi yang kuat,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN