KUCHING: Separuh daripada 14 muka baharu yang ditampilkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini, kecundang.
Bagaimanapun, tujuh calon yang tewas itu adalah mewakili Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), dua daripada empat angota parti komponen dalam GPS.
Dua lagi ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Antara muka baharu calon GPS yang mewakili PDP bagi kerusi Parlimen Mas Gading, Lidang Disen tewas kepada calon Bumiputera ditampilkan DAP, Mordi anak Bimol yang berjaya mempertahankan kerusi dimenanginya pada 2018 itu.
Seorang lagi ialah Giendam Jonathan Tait, juga mewakilki GPS daripada PDP yang tewas kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju.
Lima lagi mewakili GPS daripada SUPP tewas kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Tay Tse Kok di Parlimen Bandar Kuching; Lo Khere Chiang (Stampin) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang tapi pertama kali bertanding Parlimen; Wong Ching Yong (Lanang), Clarence Ting (Sibu) dan Jeffery Phang Siaw Foong (Miri) yang tewas kepada calon PH-PKR, Chiew Choon Man.