MARUDI : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Isnin ini, 21 November 2022 sebagai tarikh pengundian baharu bagi 11 pusat pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kawasan Parlimen P.220 Baram.
Pegawai Pengurus bagi Parlimen Baram, Belayong anak Pok dalam kenyataannya sebentar tadi berkata pasukan yang terlibat akan dihantar semula ke pusat pengundian pada jam 10.00 pagi esok dan ini juga bergantung kepada kedaan cuaca.
Katanya, 11 pasukan petugas SPR itu tidak dapat ke lokasi hari ini atas faktor cuaca berkabus tebal hingga memaksa helikopter yang mereka berpatah balik.
“Keputusan keseluruhan PRU-15 bagi kawasan Parlimen Baram akan diumumkan sebaik semua peti undi dikembalikan pada hari yang sama iaitu Isnin ini,” katanya.
Kawasan pengundian yang terlibat ialah SK Lio Mato ( 2 saluran), SK Long Jekitan ( 1 Saluran), SK Long Luteng ( 1 Saluran), SK Long Moh ( 2 Saluran), SK Long Sait, Long Semiang, Long Banga, Lepo Gah ( 2 saluran) dan SK Long Tungan ( 3 Saluran).
Pengundian di kawasan terbabit sepatutnya diadakan hari ini tetapi digantung oleh SPR kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan.
Oleh JIKU JUGUONG