KUCHING: Sebanyak 11 pusat mengundi di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.220 Baram digantung pengundiannya kerana keadaan cuaca yang tidak baik.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan petang ini berkata, keadaan itu menyebabkan petugas tidak dapat sampai ke tempat tugasan sama ada melalui laluan udara, darat atau jalan sungai.
Pusat mengundi yang terlibat ialah di Sekolah Kebangsaan Long Naah (Saluran 1&2), Sekolah Kebangsaan Long Luteng (Saluran 2), RH TK Matthew Belulok Lalo Kpg. Lepo Gah (Saluran 1& 2), Sekolah Kebangsaan Long Sait (Saluran 2).
Sekolah Kebangsaan Long Tungan (Saluran 1 & 2), Sekolah Kebangsaan Long Moh (Saluran 1&2), Sekolah Kebangsaan Long Mekabar (Saluran 1), Sekolah Kebangsaan Long Jekitan (Saluran 1 & 2), Sekolah Kebangsaan Long Lamei (Saluran 2), Sekolah Kebangsaan Lio Mato (Saluran 1 & 2) dan Sekolah Kebangsaan Long Banga (Saluran 1 & 2).
“Tarikh baharu pengundian bagi pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) akan dimaklumkan kelak setelah keadaan selamat untuk petugas dan pengundi sampai ke pusat mengundi bagi menjalankan pengundian,” katanya.
Laporan Utusan Sarawak pagi tadi menyebut keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen P.220 Baram mungkin tidak dapat diumumkan malam ini memandangkan 13 pasukan petugas SPR tidak dapat ke lokasi.
Ini berikutan helikopter yang mereka dinaiki tidak dapat mendarat di beberapa lokasi pusat mengundi di Hulu Baram kerana cuaca berkabus tebal.
Helikopter membawa petugas itu terpaksa berpatah balik.
Dalam pada itu menurut salah seorang petugas SPR yang enggan namanya didedahkan berkata beliau bertugas di pusat pengundian di Lio Mato.
“Sejak semalam helikopter yang kami dinaiki tidak dapat mendarat dan berpatah balik sebanyak tiga kali ekoran keadaan cuaca yang tidak mengizinkan,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN