KOTA SAMARAHAN: Pertama kali mengundi bukan bermakna tidak pandai menilai parti mana yang sepatutnya mendapat mandat daripada rakyat.
Itu kata Nur Adzliana, 25, (gambar) yang berasa sangat teruja turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Hari ini, 19 November merupakan tarikh keramat kerana hari ini pertama kalinya saya menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara sebagai pemilih.
“Walaupun kali pertama memilih, saya tahu menilai dalam memilih kerajaan yang stabil.
“Saya juga bangga kerana secara langsungnya terlibat dalam memilih siapa yang sepatutnya mentadbir sesebuah kawasan ini.
“Saya telah membuat sedikit kajian mengenai beberapa parti politik yang bertanding dan saya harap pada hari ini saya membuat pilihan yang tepat”, katanya kepada Utusan Sarawak di Pusat mengundi, Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Parang, hari ini.
Sebaliknya, bagi Muhammad Munif Mundzir Sudin,18, dia turut meluahkan rasa malunya kerana pertama kali turun mengundi.
“Malu lah juga sebab ini pertama kali saya datang mengundi, selama ini hanya tengok ibu dan ayah pergi mengundi dan hari ini giliran saya pula.
“Tambahan pula, saya didorong oleh ibu saya untuk pergi mengundi, rugi katanya kalau tidak mengundi. Jadi saya ikutkan sahaja”, katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN