BETONG: Operasi sanitasi awam terus dilakukan di daerah ini dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Terbaharu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong melakukan operasi nyah cemar di sekitar Gereja St Augustine Beting semalam.
Operasi sanitasi awam yang dilaksanakan seluruh negara ketika ini adalah mengikut garis panduan dan pengawasan Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan prosedur operasi standard ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pegawai Operasi, BBP Betong, PBK1 Henry Jugah berkata, seramai sembilan anggota bomba dari BBP Betong terlibat dalam operasi ini.
“Tujuan Operasi Sanitasi ini diadakan adalah untuk memastikan kawasan tumpuan awam ini bersih dan selamat daripada wabak Covid-19.
“Ia sekali gus untuk mengembalikan keyakinan masyarakat setempat supaya selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini mereka yakin untuk kembali ke rumah ibadat dan kawasan tumpuan awam mengikut arahan kerajaan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Henry berkata, proses melakukan sanitasi awam bermula dengan membuat bancuhan terhadap bahan kimia yang disediakan.
Tambahnya, setiap petugas diwajibkan menggunakanPeralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang lengkap semasa proses sanitasi ini dilakukan bagi mengelakkan anggota bomba mengalami komplikasi jika terkena bahan kimia yang digunakan.
Henry turut mengingatkan orang awam di kawasan yang dinyatakan agar tidak ke tempat yang sudah dibersihkan melalui operasi nyah cemar buat sementara waktu.
“Cuma kita harap, sesiapa pun jangan pergi ke tempat yang sudah dibersihkan itu buat sementara waktu,” tegasnya.
Jelasnya, orang ramai dinasihati tidak berada hampir dengan lokasi yang dibersihkan semasa operasi dijalankan supaya tidak menghalang lalu lintas.
Tambahnya, setakat ini kerjasama masyarakat sangat baik dan bomba dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat melakukan penugasan dengan cepat.