CONNIE CHIENG
KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Aidi Ismail berkata, 20 orang ditahan di sebuah bistro di Batu Kawa sini pada malam Isnin.
Beliau berkata, semua yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjarakan sehingga enam bulan atau didenda atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah.
Aidi memberi amaran kepada pemilik bistro supaya tidak beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)
Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak mengunjungi tempat-tempat seperti ini yang belum dibenarkan beroperasi kerana mereka termasuk pemilik akan ditangkap dan didakwa.
Pihak polis, menurut Aidi akan membuat rondaan untuk memantau sama ada premis-premis yang sudah beroperasi mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah sebelum ini berkata, bistro dibenarkan beroperasi tetapi cuma untuk ‘take away’ atau bungkus sahaja dan tidak dibenarkan untuk beroperasi hingga lewat malam dan ini termasuk kelab malam, kafe muzik dan pub.
JPBN membuat pengumuman sedemikian setelah Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bahawa kelab-kelab hiburan termasuk kedai gunting rambut, salun kecantikan dan pawagam tidak dibenarkan beroperasi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, sebuah bistro di Saradise BDC sini dengan jumlah pelanggan melebihi 20 orang diarahkan berhenti beroperasi pada jam 10.35 malam pada Isnin lalu.
Bistro tersebut, menurut beliau cuma menjual minuman ringan dan makanan Korea selain tidak membuat penjarakan sosial.
Pemilik bistro tersebut yang berumur 28 tahun turut dinasihati supaya tidak beroperasi.
Pada masa yang sama, pemilik bistro tersebut turut memberi alasan bahawa beliau mengetahui bahawa bistro tidak boleh beroperasi semasa PKPB.
Justeru, pemilik tersebut diarahkan beroperasi setelah kerajaan memberi kebenaran di masa hadapan.