JULAU: Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri perlu mengguna pakai kaedah lain untuk menentukan sama ada Julau sebenarnya sebuah daerah termiskin di Sarawak atau tidak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berdasarkan gambaran yang ada sekarang, tidak menampakkan daerah ini miskin berdasarkan kerancakkan sektor pertanian khasnya dalam aktiviti penanaman lada.
“EPU Jabatan Perdana Menteri mungkin tersilap, bukan saja penduduknya tidak tergolong dalam kategori mereka yang ‘kebuluran’ atau ‘tidak makan’, malah ramai daripada mereka menikmati pendapatan yang tinggi hasil penglibatan dalam aktiviti penanaman lada.
“Selain memiliki kereta SUV, ramai yang membeli rumah di Sibu Jaya dengan mengemukakan deposit tinggi ketika harga komoditi lada masih tinggi sewaktu saya menjadi Menteri Perumahan suatu ketika dulu.
“It is really (ia benar-benar) tak betul. Sebab itu saya arahankan supaya EPU melantik orang yang pakar dari sudut penilaian bagi menentukan sama ada benar-benar miskin atau tidak mengikut teori ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pekan Julau hari ini.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, jika kemiskinan itu ditentukan berasas kepada pendapatan tunai ia adalah mengelirukan.
“Kalau nak mengukur kekayaan seseorang atau sesebuah syarikat ia hendaklah berlandaskan kepada Aset Ketara Bersih (NTA).
“Kalau mereka ada tanah, bukankah ini adalah aset dan di sini (Julau) banyak tanah NCR (Tanah Adat Bumiputera) yang boleh mereka hasilkan pendapatan melalui pertanian,” katanya.
Katanya, taraf kehidupan masyarakat di Julau kini telah meningkat dan dicerminkan melalui jumlah kenderaan yang banyak dan permintaan penduduk supaya sebuah stesen minyak diadakan di Julau.
“Ini adalah hasil penglibatan penduduk dalam aktiviti pertanian khasnya penanaman lada.
“Namun itu semua belum cukup dan kerajaan perlu menambah lebih banyak projek untuk menambah pendapatan rakyat di Julau.
“Untuk itu, perlu ada kerjasama erat di antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin, ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom dan calon GPS bagi kerusi Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang Gandum,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN