KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan insiden kebakaran di Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) “berhampiran KP 132, berdekatan Lawas,” Sarawak petang tadi.
Petronas berkata, kejadian itu dipercayai membabitkan kontraktor pihak ketiga yang melakukan kerja ‘tidak berkaitan dengan operasi SSGP berhampiran kawasan izin lalu (ROW) saluran paip’.
“Laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian ini dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat minyak dan gas milik negara itu berkata ia telah menggerakkan pasukan bertindak kecemasan ke kawasan insiden berkenaan.
“Petronas sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam mengawal situasi serta memastikan keselamatan komuniti dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Sebelum itu, media melaporkan seorang maut manakala dua lagi cedera selepas SSGP Petronas di Long Ugui, Lawas meletup pada kira-kira 2 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 2.49 petang sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi.
Katanya, setakat ini, mangsa yang meninggal dunia hanya dikenal pasti sebagai Hadi Wiyono, manakala mangsa yang cedera dikenali sebagai Hendrick dan Gabriel Meripa.
“Kejadian membabitkan tiga mangsa dengan seorang disahkan meninggal dunia semasa berada dalam sebuah jentera pengorek, manakala dua mangsa cedera melecur di beberapa anggota badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keluasan kebakaran dan letupan dianggarkan pada jarak radius 400 meter membabitkan dua jentera berat serta sebuah lori. – BERNAMA