LAWAS: Penduduk di kawasan berhampiran kejadian letupan Saluran Gas Sabah Sarawak (SSGP) di Long Ugui di sini dinasihatkan supaya tidak panik dengan kejadian itu dan perlu menjauhkan diri dari situ.
Residen Bahagian Limbang, Sebi Abang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian Limbang berkata orang ramai juga tidak perlu membuat sebarang spekulasi berlegar kepada insiden itu.
“Kita tunggu laporan rasmi daripada pihak polis, bomba dan pasukan teknikal Petronas. Ini kes kedua (seumpama itu) berlaku tahun ini dan sebelum inipun pernah berlaku kebocoran gas akibat pergerakan tanah.
“Tetapi semuanya dikendalikan dengan baik oleh pihak Petronas yang sememangnya mempunyai kepakaran dalam perkara ini,” katanya dalam sidang media bersama Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok di sini petang ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak petang ini, seorang maut dan dua lagi cedera dalam letupan itu.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Hadi Wiyono yang meninggal dunia ketika berada dalam jengkaut, manakala dua yang cedera ialah Hendrick dan Gabriel Meripa, yang melecur di beberapa bahagian badan.
Mereka adalah pekerja syarikat kontraktor projek Jajaran Jalan Perhubungan Sabah Sarawak (SSLR).
Menurut kenyataan itu lagi, pihak Bomba menerima panggilan jam 2.49 petang tadi mengenai insiden itu dan pasukan bomba diketuai komander operasi mendapati berlakunya kebakaran melibatkan laluan paip gas milik SSGP.
Oleh ADENG EDRUS