LAWAS: Mangsa yang maut dalam kejadian letupan Saluran Gas Sabah Sarawak (SSGP) di Long Ugui di sini, hari ini dikenal pasti sebagai Hadi Wiyono.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak petang ini, Wiyono meninggal dunia ketika berada dalam jengkaut.
Katanya, dua yang cedera pula ialah Hendrick dan Gabriel Meripa, yang melecur di beberapa bahagian badan.
Utusan Sarawak difahamkan, ketiga-tiga mereka adalah warga Indonesia.
Mereka adalah pekerja syarikat kontraktor projek Jajaran Jalan Perhubungan Sabah Sarawak (SSLR).
Menurut kenyataan itu lagi, pihak Bomba menerima panggilan jam 2.49 petang tadi mengenai insiden itu dan pasukan bomba diketuai komander operasi mendapati berlakunya kebakaran melibatkan laluan paip gas milik SSGP.
“Keluasan kebakaran dan letupan dianggarkan pada jarak lingkungan 400 meter dan kebakaran melibatkan beberapa jentera berat termasuk sebuah lori musnah sebahagian dan ada yang mengalami kebakaran seratus peratus,” katanya.
Pasukan bomba katanya, mengalami kesukaran ke lokasi kerana jalan ke lokasi tidak dapat dilalui oleh jentera berat. Perjalanan ke lokasi hanya menggunakan kenderaan pacuan empat roda serta membawa peralatan operasi bergerak ke lokasi kejadian.
Kerja pemadaman menggunakan dua unit alat pemadam api untuk pemadaman kebakaran kerana tiada sumber air terbuka di lokasi.
Punca kebakaran masih dalam siasatan dan difahamkan pihak Petronas akan mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu.