BAU: Pajakan sementara tanah di Kampung Stenggang Bau yang dikeluarkan kepada sebuah syarikat, akan dibatalkan, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ini kata Premier Sarawak adalah untuk memberi laluan kepada keperluan projek perumahan dan kemudahan lain.
“Sepanjang laluan di kampung ini agak sesak dan di sebelahnya ada tanah di bawah pajakan sementara milik sebuah syarikat.
“Jadi saya telah memutuskan untuk membatalkan pajakan sementara bagi memberi laluan kepada pembangunan di kawasan ini terutama dari segi skim penempatan semula (SPS).
“Langkah ini akan dapat membentuk sebuah kampung yang lebih tersusun,” katanya kepada pemberita selepas sesi bertemu rakyat di sini petang tadi.
Abang Johari berkata, tanah itu telah dikenal pasti untuk pembesaran kampung supaya generasi akan datang di sini akan mempunyai rumah sendiri.
“Ia akan menjadi sebuah perkampungan moden. Konsepnya lebih kurang seperti Sungai Bedaun atau Kemunyang di Sibu. Kampung Stenggang kini mempunyai 6,185 penduduk.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Tanah dan Survei untuk meneliti perkara itu dan butiran lanjut akan dibincangkan selepas pilihan raya.
“Pajakan sementara akan dibatalkan demi kepentingan penduduk di Bau dan Opar. Tetapi jangan jual tanah. Jika dapat tanah-tanah tersebut, bangunkanlah terutama untuk penduduk Kpg Stenggang,” katanya.
Permintaan pembatalan pajakan sementara itu dibuat oleh Lidang Disen, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Mas Gading.
Abang Johari turut meminta pengundi di kampung itu supaya memastikan GPS memenangi kerusi Mas Gading supaya lebih banyak perkara yang baik dapat datang ke kawasan itu.
“Jika di Mas Gading kita menang, di Puncak Borneo kita menang, dan di Serian kita menang, ini bermakna Bidayuh bersatu dalam GPS,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menyerahkan gajet bantuan belajar terdiri daripada 30 Huawei Mediapad daripada Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk 30 pelajar SMK Singai, SMK Bau dan SMK Lake.
Sebanyak 17 rumah ibadat turut menerima dana berjumlah RM1.19 juta dari Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).