BAU: Tender untuk pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kuching-Bau akan dikeluarkan April tahun depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek dengan kos RM100 juta itu dijangka siap dalam masa tiga tahun.
“Kita akan molah jalan Kuching-Bau kedak (macam) jalan di Malaya (Semenanjung). Jangan maok kalah dengan sidaknya. Kita mesti kedak Malaya,” katanya pada program Sarawakku Sayang di Pekan Warisan Siniawan, di sini hari ini.
Katanya, Jalan Kuching-Bau akan dibangunkan sebagai kawasan hab pelancongan.
Jalan raya yang menghubungkan Kuching-Bau ini dinaik taraf kepada jalan raya berkembar dua hala. Ia dibina bagi meningkatkan perhubungan antara kedua-dua kawasan terbabit.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata pada masa ini, jalan raya di Bau-Kuching berada pada tahap kritikal .
“Kapasiti penggunaan jalan ini begitu tinggi sekali. Lebih daripada 4,000 kenderaan menggunakan kawasan ini setiap hari.
“Dalam pada itu, kemalangan juga berlaku setiap minggu. Sesetengah kemalangan ini meragut nyawa,” katanya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Katanya, keadaan seperti ini memaksa mereka untuk mendapatkan dana dari kerajaan negeri supaya projek menaik taraf jalan raya iaitu jalan lama Kuching-Bau ini dapat dipercepatkan.
“Ini bukan sahaja untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi penduduk bahkan untuk menjamin keselamatan pengguna yang menggunakan jalan raya ini,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN