Oleh Stephanie Juanita Anak Ahlee
“Abah.”
Orang tua itu hanya menoleh tanpa berkata sepatah pun kepada Ayim. Ayim masih menantikan jawapan daripada ayahnya. Namun,tiada jawapan daripada ayah. Hanya renungan tajam.
“Bukankah abah dah cakap? Jangan tanyakan soalan itu lagi. Abah tetap dengan keputusan abah.” Kali ini orang tua itu menjawab. Mengesahkan jawapan yang tidak pernah berubah sejak bertahun lalu. Masih jawapan yang sama.
“Tapi, abah… ini untuk kebaikan kita semua. Ayim tak dapat tahan lagi kalau kita hidup macam ni. Tak ada air, tak ada elektrik.” balas Ayim.
Abah hanya terus mendongak ke siling sambil mendagu. Orang tua ni cukup degil. Kata hati kecil Ayim.
“Apa yang susah? Bukannya kita sekarang baru merasa tak ada air, tak ada elektrik? Sejak kecil lagi kau tu dah rasa. Sekarang baru nak merungut?” kata abah lagi.
“Isteri Ayim tak lama lagi akan bersalin. Macam mana dia nak berpantang di sini dengan keadaan kita macam ni?”
“Mak kau elok saja. Ni dah nak jadi bapa pun kau, kita dah terbiasa saja tanpa air dengan elektrik.” kata abah. “Dah,dah! Jangan pujuk aku lagi.” kata abah lalu keluar dari rumah.
Ayim menarik nafas marah. Dia pujuk hatinya untuk berdamai walaupun tidak menyokong keputusan abah. Reena menghampiri suaminya. Dia hanya tenung si suami yang kemudian membalas senyum manis dalam keperitan.
“Reena berpantang saja di rumah ibu bapa Reena, ya bang. Jangan kerana Reena, abang dan abah bergaduh.”
“Bukan, Reena. Air dan elektrik sangat penting untuk kita semua. Abah terlalu sayangkan tanahnya sehingga dia sangka apabila kerajaan mahu menyalurkan bekalan air dan elektrik melalui tanahnya, dia ingat kerajaan mahu mengambil harta pusaka dia.”
“Sabarlah,bang. Mungkin hatinya belum terbuka.”
“Hanya perlukan tandatangan abah supaya seluruh kampung dapat bekalan air yang bersih dengan elektrik. Tetapi, abah sangat berdegil. Dia ingat hidup zaman dahulu sama seperti zaman sekarang. Air sungai belum tentu bersih. Takkan kita nak guna lilin atau generator elektrik seumur hidup?”
Reena tidak lagi berkata-kata kepada suaminya. Benar kata suaminya. Tetapi, ayah mentuanya begitu degil. Dia tidak mahu seinci pun tanahnya dikorek untuk tujuan penyaluran paip air dan penanaman tiang elektrik. Dia tidak mahu tanah pusaka miliknya digunakan untuk apa sahaja projek. Sedangkan kampung sebelah telah mulai mendapat bekalan air paip dan juga elektrik sejak projek Pan Borneo dijalankan. Jalan raya baru yang menghubungkan jalan Pan Borneo itu memudahkan beberapa kampung menerima air paip bersih dan daripada keadaan gelap, mereka juga mendapat bekalan elektrik yang kini menerangi kampung mereka.
Tetapi tidak bagi kampung Ayim. Abah ketua kampung, tetapi mentaliti dan pemikiran tidak seperti ketua kampung lain yang mahukan pembangunan. Dia berpendapat begitu kencang sekali mengenai tanah pusaka. Katanya tanah pusaka tidak boleh diambil sesuka hati. Hak mereka dalam mempunyai tanah pusaka adalah sampai mati. Lantang sekali dia memberikan keputusannya.
Pernah beberapa kali orang kerajaan datang untuk mengukur tanah untuk membuat pembangunan. Sudah tentu dia menghalau dan mengugut mereka dengan senapang. Dan oleh sebab itu, tiada lagi orang kerajaan yang datang ke situ untuk membantu mereka.
Ayim banyak kali juga beritahu, hanya setapak tanah sahaja digunakan untuk mendirikan tiang elektrik dan menanam paip air. Namun, seperti mencurah air ke daun keladi. Kata-katanya tidak dipedulikan. Abah begitu degil.
“Dah tak ada air lagi dalam tong tadahan hujan kita, bang.” kata Reena.
“Nanti abang ambilkan air sungai.” sahut Ayim.
Ayim perlahan-lahan bangun. Dilihatnya tong tadahan hujan benar-benar kosong. Sudah lama hujan tidak turun. Ayim mengeluh sendirian. Dia ambil baldi biru kosong lalu menuju ke sungai yang terletak dalam 5 minit dari rumahnya. Sambil dia berjalan ke sana keseorangan, dia merungut sendirian. Kalaulah rumahnya ada paip air bersih, buat apa pun mudah sekali. Tetapi sampai bilakah keadaan mereka harus begini? Tidak lama lagi isterinya akan bersalin. Mana mungkin anaknya nanti minum air sungai yang entah bersih entahkan tidak. Kalau hari-hari dia perlu beli sekotak mineral untuk minum dan memasak ,bukankah itu membazir? Bagaimana kalau hendak mandi? Semua perkara dalam fikirannya bercelaru dan buntu.
Sudah ke-5 kali Ayim berulang-alik mengangkut baldi berisi air. Semasa dia berada di sungai tadi, kelihatan air sungai agak kering. Ada juga penduduk kampung yang turut sepertinya. Mereka masing-masing berpandangan ketika menimba air sungai. Ayim agak malu sebenarnya. Dia malu kerana pemikiran abah yang kolot sebagai ketua kampung di situ. Malah,abah hasut orang kampung mereka supaya jangan sekali-kali menjual atau membenarkan apa saja projek dilakukan di atas tanah mereka. Abah oh abah.
Penduduk kampung itu tidak ramai. Lebih kurang hanya sepuluh buah rumah sahaja. Dalam sebuah rumah, jika dikira, penghuninya dalam empat sehingga enam orang. Ada juga keluarga yang telah berpindah dari situ yang tidak tahan akan keadaan serba kekurangan tanpa air dan elektrik.
“Aku dah cakap. Apa guna nak jual tanah pusaka nenek moyang? Tidak ada untung. Kita yang rugi!” Bahas abah di rumah Pak Kassim. Ada juga beberapa penduduk yang datang ke situ untuk berborak petang.
“Kata mereka mahu buat projek. Kenapa nak guna tanah kita? Koreklah di tempat lain! Bukan nak buat projek,mereka tu nak ambil tanah pusaka kita. Senang-senang nak ambil percuma! Betul tak?” kata abah lagi. Ada yang mengangguk.
“Aku tak nak! Bersusah payah nenek moyang kita berusaha simpan, jaga… untuk anak cucu cicit kita! Tak ada air, sungai ada! Hujan ada! Tak ada elektrik? Pakai generator! Apa susah?”
Abah masih lagi mengekalkan persepsinya tentang hak tanah pusaka. Tiada seorang yang berani menentangnya. Mereka percaya kata-kata abah. Hanya menurut sahaja. Siapa yang berani menentang Tuan Haji Hassan? Ketua Kampung Danai Batu 3 seorang yang lantang berkata-kata. Malah dia juga dikenali di pejabat Tanah dan Survei kerana sering melawan dan mengadu akan ketidakpuasan hatinya dengan sebarang tindakan berkaitan dengan tanah di kampung itu.
“Abah, mak. Tarikh bersalin Reena semakin dekat. Kami bercadang nak balik ke rumah ibu dan bapa Reena.” kata Ayim pada malam itu.
“Kenapa nak balik ke sana?” tanya mak.
“Kami berpendapat yang di rumah ibu dan bapa Reena lebih selesa untuk Reena berpantang dan anak kami tinggal di sana.” Jawab Ayim.
“Kenapa? Di sini tak selesa?”tanya abah.
“Bukan macam tu, di sana lebih mudah dengan ada keperluan macam air…” Suara Ayim perlahan di hujung kata-kata.
“Kalau macam tu, kalau abah dan mak jatuh sakit, kalian pun akan pergi tinggalkan kami. Macam itu?” kata abah.
“Bukanlah, abah… mak. Kenapalah susah nak faham dengan maksud baik Ayim?” kata Ayim.
“Dah memang macam tu bukan? Kesimpulannya, kalian berdua tak faham dengan kepayahan kami berdua. Mak kamu membesarkan dan kamu satu-satunya anak kami sanggup meninggalkan kami berdua di sini? Hanya kerana api dan air?” soal abah.
Ayim tidak mahu menjawab lagi. Niat tidak kesampaian. Abah tentu tidak mengalah. Biar saja perbalahan pada hari itu tamat pada hari itu. Tunggulah kalau ayah sejuk sikit, barulah aku sebut perkara yang sama sekali lagi. Tekadnya.
Dia pandang pada Reena yang menjenguk sebentar dari bilik dan kemudian masuk semula kerana mungkin dia tidak menyukai jawapan abah. Wajahnya nampak sekali kecewa walaupun terselit senyuman kasih seorang isteri.
“Ayim. Mak rasa abah kamu tu sakit. Sejak semalam dia cirit birit dan muntah-muntah.”kata mak pada Ayim.
“Abah ada makan apa-apa selain makan di rumah?” tanya Ayim.
“Semalam dia ada pergi ke rumah Wak Seman. Tapi mak tak tanya dia makan apa di sana.” jawab mak. Wajahnya mulai risau. Abah pula sedang berbaring di lantai ruang tamu.
“Kita semua di dalam rumah ni nampak baik-baik saja. Jangan-jangan abah salah makan agaknya?”
Abah bangun lalu berjalan cepat-cepat ke bilik air lagi. Nampak sangat abah tengah sakit. Dia berjalan sambil memegang perutnya.
“Abah,mari Ayim hantar ke klinik. Abah sakit tu.”
“Eh taklah, mana abah sakit! Lepas minum air garam nanti eloklah!”
Ayim pandang ibu apabila abah menjawab pelawaannya untuk menghantar abah ke klinik. Ibu sekadar menggeleng kepala. Sungguh degil orang tua itu. Nasihat dan teguran bagai air titik ke batu kerana langsung tidak diendahkan abah. Fikirannya keras seperti batu.
“Ayim!” Jerit ibu.
Dengan pantas Ayim berlari ke dalam rumah ketika memberikan ayam makan di luar rumah. Dilihatnya ibu memangku abah yang kelihatan tidak terdaya lagi. Cepat-cepat dia angkat abah ke dalam kereta dan menghantarnya ke hospital. Staf hospital bertindak pantas merawat abah yang tidak sedarkan diri.
Setelah menanti 45 minit, barulah doktor yang merawat abah bertemu dengan Ayim. Doktor memberitahu bahawa abah Ayim disyaki terkena penyakit taun atau kolera. Doktor bertanya sama ada mereka menggunakan air bersih untuk memasak dan minum di rumah. Ayim berterus-terang yang di kampung mereka belum ada kemudahan air paip bersih dan hanya menggunakan air sungai dan tadahan air hujan. Doktor sekadar mengangguk kerana dia mahu kepastian punca pesakitnya mendapat penyakit taun atau kolera itu.
Abah dimasukkan ke dalam wad. Ayimlah yang menjaga abah untuk beberapa hari ketika dia ditahan di dalam wad. Semasa di dalam wad, Ayim langsung tidak menyebut hal berkenaan dengan air tidak bersih kerana tidak mahu abahnya bertambah sakit. Abah memang terkenal dengan sikap sensitif apabila bercakap tentang isu air. Dia ketepikan dahulu perkara itu sebelum abah benar-benar sihat.
“Abah tahu tak kenapa abah masuk hospital hari tu?” soal Ayim. Dia sengaja tidak melihat wajah abah. Dia tahu abah degil orangnya.
“Tahu. Taun. Penyakit Taun.”
“Abah tahu apa puncanya?”
“Makanan tidak bersih. Kenapa Ayim tanya abah?”
“Sebab air sungai kita tidak bersih macam dulu, abah. Sungai kita telah tercemar.” Jawab Ayim. Kali ini dia pandang wajah orang tua itu.
“Jadi bagaimana? Kita panggil orang kerajaan untuk pasang air bersih? Sedangkan di hospital, air paip yang orang bandar tu minum hari-hari pun boleh buat orang sakit.” jawab abah.
Sah! Abah memang akan menjawab kalau Ayim bertanya pasal air.
“Abah memang berdegil kalau Ayim cakap pasal paip air. Kenapa eh abah? Susah sangatkah nak pasang paip air bersih ke kampung kita? Abah tahu tak penyakit yang buat abah masuk hospital tu boleh membawa maut? Bagaimana kalau keluarga kita semua yang terkena? Abah sanggup? Ayim tak sanggup kalau isteri dengan anak Ayim dalam kandungan itu terjadi apa-apa. Abah faham tak?” kata Ayim. Kali ini dia lebih bertegas pertahankan pendiriannya.
“Mana-mana kata kamulah,Ayim. Abah tak nak cakap apa-apa lagi.” Abah membuat keputusan.
“Sudahlah kalian berdua. Nanti jiran kita dengar.” balas ibu.
“Baiklah. Ayim dah bertekad. Selagi kampung kita tak ada air, tak ada elektrik, Ayim takkan kembali ke sini.” jawab Ayim yang menutup perbalahan pada hari itu. Jika dia bertahan, dia tak tahulah apa yang akan terjadi pada keluarga kecilnya. Abah tidak boleh dibawa berbincang. Biarlah dia dengan tanah pusaka kesayangannya itu. Itu penting baginya.
Keesokan harinya, Ayim dan isteri berpindah ke rumah keluarga isterinya walaupun sempit kerana selain mereka, masih ada adik-beradik lain Reena yang masih tinggal di situ. Reena ikut sahaja apa saja keputusan si suami. Kelibat abah tidak kelihatan di rumah semasa mereka berkemas. Hanya ibu dengan linangan air mata.
“Mak,bukan Ayim marah dengan abah. Ayim cuma mahu Reena dan anak yang bakal lahir mendapat keselesaan. Ayim pasti akan kembali satu hari nanti.”kata Ayim sebelum bersalam dengan ibu.
Dan, malam itu, bermulalah episod abah dan ibu tinggal keseorangan. Tipulah jika abah tidak tersasul memanggil Ayim. Ibu tahu, abah rindukan Ayim seperti dirinya. Namun, rindu itu abah pendam dalam jiwa. Ibu pula kadangkala membuat panggilan video dengan satu-satunya anak mereka itu. Terubat sedikit kerinduan.
Minggu berlalu dengan pantas. Ibu berlari sambil membawa telefon pada abah yang sedang mengetuk pintu sangkar ayam yang rosak kerana hujan lebat semalam. Dia tunjuk wajah anak Ayim yang baru lahir. Abah perhati lama-lama. Ibu tahu, abah rindu Ayim. Sejak itu,ibu selalu menghubungi Ayim dan Reena. Ibu sangat rindu untuk bertemu dengan Ayim dan keluarga. Abah pula pura-pura masih marah tetapi dia tetap menatap gambar cucunya yang dihantar oleh Ayim.
Satu hari, Ayim datang melawat ibu dan abah. Dia bawa Reena dan Mohd Akim bertemu ibu dan abah buat pertama kali. Begitu gembiranya wajah ibu dan abah menerima kunjungan daripada Mohd Akim. Cucu pertama mereka yang comel itu juga tidak banyak karenah dan seronok ketika dipangku oleh nenek dan atuk.
“Kamu berdua baliklah ke rumah.”kata ibu.
“Tunggu dululah,mak. Ayim pun agak selesa di rumah ibu dan bapa Reena. Turun ke tempat kerja pun dekat sahaja dari rumah. Lagipun, Ayim tak perlu nak angkat air macam dulu. Semua ada.” jawab Ayim. Ayim tahu ibunya rindu. Begitu juga abah. Tetapi di mana keluarga kecilnya lebih selesa, di situlah mereka berada.
Mereka tidak menunggu malam untuk pulang ke rumah. Abah menampakkan wajah kesedihan. Dia tahu dia sunyi tetapi tidak meluahkannya. Dia tahu dia rindu tetapi dia tidak mengatakannya.
“Ayim.”
“Ya mak? Eh abah?”jawab Ayim di hujung talian.
“Ayim. Abah nak beritahu, abah dah buat keputusan untuk buat saluran paip air dan bekalan elektrik ke kampung kita.” Suaranya direndahkan tetapi masih dapat didengar oleh Ayim.
“Betulkah abah?”tanya Ayim lagi.
“Ya, abah rindu dengan kalian semua. Abah rindu dengan cucu abah.” Kedengaran suaranya sebak. “Abah berdegil. Abah rupanya pentingkan tanah lebih daripada darah daging abah sendiri. Dan akhirnya abah terpaksa memendam rindu yang teramat kerana rumah ini sangat sunyi tanpa kalian semua. Abah rindu.” jelasnya lagi.
“Baiklah, abah. Ayim akan bawa abah ke pejabat kerajaan. InsyaAllah semuanya akan dipermudahkan.” kata Ayim dalam senyuman. Syukur.
Dan,akhirnya buat sekian kalinya,kampung mereka bercahaya pada waktu malam tanpa perlu bunyi bising dari generator dan air bersih daripada paip rumah masing-masing. Ayim datang ke rumah dan memberitahu mereka sekeluarga akan kembali ke rumah itu pada minggu hadapan. Senyuman terukir pada wajah ibu dan abah.
Abah mengelap titisan mutiara air mata yang mengalir daripada matanya. Dia akhirnya mengaku salah kerana kedegilannya tidak menguntungkan sesiapa malah memisahkan hubungan kekeluargaan antara seorang ayah dengan anak. Bersyukur dia sempat berubah sebelum semuanya terlambat.