GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) mempunyai matlamat besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini. Parti ini mahu memastikan untuk menang tidak kurang 25 daripada 31 kerusi Parlimen. Pada masa sama mahu melonjakkan lagi usaha untuk mencapai angka maksimum sehingga 28 kerusi Parlimen.
Ternyata GPS mahu membuktikan walaupun pertama kali bertanding menggunakan logo GPS, akan tetapi mampu menang besar dan menjadi kuasa penentu atau ‘kingmaker’ dalam politik nasional selepas pilihan raya umun ini. Justeru, terdapat beberapa kerusi yang menarik untuk dianalisis.
Puncak Borneo
Bagi kerusi ini, sudah pasti, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak mempunyai masalah untuk mencapai matlamat ini. Puncak Borneo yang ditandingi calon lompat parti sebelum ini, iaitu Datuk Willie Mongin dijangka mampu menang di Parlimen Puncak Borneo.
Walaupun penyertaan Willie kurang enam bulan dalam PBB, kemudian dicalonkan sebagai Ahli Parlimen, kepemimpinan tertinggi PBB yakin, Wilie mampu memberikan kemenangan besar di Puncak Borneo. Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen Puncak Borneo diarahkan memberikan sokongan seratus peratus kepada pencalonan Willie dan dipastikan tidak ada sabotaj dalaman berlaku dalam pilihan raya di situ.
Setakat ini, arahan ini mendapat reaksi positif demi memenangkan GPS. Suasana Pakatan Harapan (PH) di Puncak Borneo memerlukan dukungan pelbagai sokongan untuk memastikan kemenangan dan bekerja lebih keras.
Memang terdapat yang mengundi Willie pada pilihan raya lalu kecewa dengan keputusan Willie menyertai PBB. Namun ketidakpuasan tidak disertakan oleh gerakan secara besar-besaran. Kecualilah pada akhir kempen nama besar seperti Presiden PKR sendiri turun ke Puncak Borneo, maka ia boleh meningkatkan sokongan di Parlimen tersebut.
Namun, jadual ketat kalangan pimpinan tinggi PKR lain yang masing-masing memfokuskan kemenangan diri mereka sendiri, bermakna PKR Puncak Borneo perlu menggandakan usaha mereka di peringkat setempat.
Cabaran SUPP
Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) berdepan tekanan untuk memenuhi matlamatGPS yang inginkan kemenangan besar dan memainkan peranan lebih besar diperingkat Dewan Rakyat. SUPP sudah memastikan hanya calon yang terbaik dari segi kelayakan akademik dan pengalaman untuk bersaing banyak dengan kerusi PH di kawasan majoriti Cina.
Tujuh kerusi tradisional mereka ialah Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang and Miri. Daripada kerusi itu, SUPP hanya memiliki kerusi Serian yang diwakili Timbalan Presidennya, Richard Riot. Sebab itu, Richard Riot dicalonkan semula sebagai calon SUPP walaupun berlakunya sentimen Richard Riot sudah terlalu lama menjadi wakil rakyat dan perlu digantikan calon yang lebih muda.
Namun sebagai satu-satunya penyandang dan pemenang dari parti SUPP, maka tidak ada mana-mana dalam kepemimpinan SUPP membantah pencalonan Richard. Di kerusi Parlimen Serian terdapat usaha untuk menewaskan Richard berdasarkan faktor tersebut atas nama calon Bebas. Namun, Ahli Parlimen yang sudah tujuh penggal ini dijangka mampu mempertahankan Parlimen Serian walaupun sengit.
Bagi Parlimen Sibu, Lanang, Miri dan Bandar Kuching, SUPP berdepan dengan kawasan kuat PH. Di Lanang, DAP masih dianggap kuat, calon masih popular dan ditambah lagi terdapat pengundi Cina majoriti. Namun di Sibu, pertembungan Wong Soon Koh dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan GPS dapat dilihat pertembungan yang kuat kali ini berbanding pertembungan dengan DAP kali ini.
Pertembungan PSB dan GPS jika sentimen ini berterusan bergantung kepada sokongan pengundi Bumiputera yang menentukan sama ada bersama PSB atau GPS. Namun pecutan akhir DAP boleh juga menjadi saingan utama dan memecahkan tiga blok undi.
Stampin
Peluang GPS menang di Parlimen Stampin amat cerah apabila DUN Batu Kitang, Batu Kawah dan Kota Sentosa pada pilihan raya negeri Sarawak 2021, berjaya dimenangi GPS. Terdapat kecenderungan pengundi Cina di ketiga-tiga DUN kembali bersama GPS. Ditambah pula Lor Khere Chiang pula mesra pengundi dan mudah dihubungi.
Malah jumlah pengundi Bumiputera juga hampir separuh, ditambah pula undi kem tentera tidak kurang 5,000 pengundi dijangka memberikan kelebihan kepada SUPP. Prestasi Chong pula dilihat hambar terutama selepas kejatuhan Pakatan Harapan memerintah negara.
Beliau sering dikaitkan sebagai ahli politik yang menjanjikan kerajaan PH akan menaikkan royalti minyak sebanyak 20 peratus jika PH memerintah negara, namun tidak ditunaikan. Bermakna pengundi Cina kemungkinan besar akan menghukum Chong agar lebih berhati-hati apabila membuat janji pilihan raya. Ramai juga pengundi Cina melihat Chong sebagai terlalu lama dan perlu digantikan. Jika sentimen ini berterusan, maka Chong boleh tewas kali ini.
Sarikei
Di Parlimen Sarikei, nama Huang Tiong Sii naik dan beliau juga ADUN Repok dipilih untuk bertanding Parlimen. Sebenarnya keputusan ini bertentangan dengan prinsip SUPP yang sebelum ini menolak mana-mana ADUN untuk bertanding peringkat Parlimen.
Namun atas strategi untuk memberikan kemenangan dan faktor calon sangat popular, maka pendirian sebelum ini tidak lagi digunakan. Ini juga digunakan dalam pemilihan calon di Stampin.
Parlimen ini mempunyai 60 peratus pengundi Cina dan 31 peratus pengundi Bumiputera ini. Kemenangan calon dalam pertandingan ini bergantung kepada kadar peratusan turun mengundi. Sekiranya kadar peratusan turun mengundi tinggi, maka peluang PH untuk menang dijangka lebih tinggi, namun populariti Huang di kawasan dikatakan mampu meningkatkan undi dan menghambat kemenangan calon PH yang diwakili DAP.
Miri
SUPP menaruh harapan terhadap kemenangan GPS di Parlimen Miri dengan meletakkan kaunselor Jeffery Phang Siaw Foong, seorang arkitek bertanding untuk menentang bekas Datuk Bandar Miri Lawrence Lai (PSB) manakala Chiew Choon Man (PKR) seorang peguam yang berumur 31 tahun.
SUPP kali ini lebih yakin boleh menang di Miri, apabila Ahli Parlimen lama PKR Dr Teo digantikan dengan calon muda, namun dikatakan Dr Teo masih berminat untuk bertanding. Parlimen yang mempunyai 47 peratus pengundi Cina dan selebihnya pengundi Bumiputera ini memberikan harapan untuk SUPP menang.
Namun ini bukanlah suatu yang mudah kerana perlu bekerja lebih kuat kerana sudah dua penggal Parlimen tersebut dimenangi PKR. Malah dijangka, pertembungan tiga penjuru ini menyebabkan perpecahan undi dan menguntung mana-mana parti yang boleh menarik pengundi muda bawah 40 tahun.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)