BETONG: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengecam seorang calon di kawasan Parlimen Betong yang didakwa menyemarakkan api perkauman dalam usahanya memancing undi dalam kalangan pengundi Melayu di sini.
Tiga ADUN terbabit ialah Mohammad Razi Sitam (Saribas), Datuk Ibrahim Baki (Satok) dan Fazzrudin Abdul Rahman (Tupong).
Ketiga-tiga mereka menyertai calon baharu GPS bagi kerusi Parlimen Betong, Dr Richard Rapu pada program kempen di Kampung Balingan dan Kampung Sebemban, Spaoh di sini hari ini.
Pada majlis itu, ketiga-tiga ADUN terbabit menyentuh mengenai bahayanya politik perkauman dalam masyarakat berbilang kaum pelbagai agama seperti Sarawak.
Bagaimanapun, mereka tidak menyebut siapa calon yang dimaksudkan menggunakan isu kaum di situ.
Dr Richard adalah calon muka baharu di Parlimen Betong dan dicabar calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari gabungan Pakatan Harapan (PH) Patrick Kamis dan calon Bebas, Hasbie Satar.
Ketika meminta pengundi untuk menolak politik menjaja isu kaum, Razi berkata GPS menawarkan platform terbaik untuk mengukuhkan lagi perpaduan rakyat pelbagai kaum.
“Kami mempunyai pemimpin berbilang kaum dalam GPS dan mereka bukan sahaja memuji tetapi meningkatkan usaha satu sama lain dalam proses pembinaan negara dengan sempurna.
“Untuk Sarawak terus membangun, perpaduan, keharmonian dan kestabilan kita adalah pra-syarat penting,” katanya.
Dalam pad itu, Ibrahim dalam ucapannya pula berkata mengeksploitasi isu perkauman adalah seperti bermain api.
“Apabila tidak terkawal, ia boleh menjadi parah. Kita perlu menghargai dan memupuk hubungan perkauman dan agama yang kukuh yang kita nikmati selama ini.
“Ini adalah keistimewaan unik kepada kami di negara ini. Janganlah kita terpengaruh dengan gaya politik keji yang dibawa masuk dari luar negeri,” katanya,
Ibrahim berkata, seperti perkahwinan campuran kini menjadi kebiasaan di negeri ini.
Sementara itu Fazzrudin dalam ucapannya berkata terdapat kira-kira 30 kumpulan etnik berbeza di Sarawak.
“Semua kaum telah hidup bersama dalam keharmonian dan perpaduan yang sempurna. Tetapi saya sedih untuk ambil perhatian bahawa terdapat cara berkempen individu terbabit dengan menggunakan isu perkauman dalam meraih undi rakyat di Betong.
“Ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah sangat tidak menjaga sensitiviti kaum. Jika orang ramai tidak berhati-hati, mereka boleh mendapat kesan negatif.
“Mari kita sama-sama merenung perkembangan tidak sihat ini. GPS akan melawan habis habisan dengan sebarang usaha untuk meruntuhkan keharmonian dan perpaduan kaum dan agama Sarawak,” katanya.
Ketiga-tiga ADUN itu juga berkata walaupun Parlimen Betong yang terdiri daripada DUN Layar, Bukit Saban dan Saribas telah menjadi kubu tradisi kerajaan, rakyat di kawasan itu tidak pernah diabaikan dan dipinggirkan dari arus kemodenan kemajuan.
“Memandangkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahukan seberapa ramai wakil GPS di Parlimen, kami (GPS) mahu memastikan ini dapat direalisasikan,” kata Ibrahim.
Mengenai pencalonan Dr Richard Rapu, ketiga-tiga ADUN bersetuju bahawa beliau adalah orang terbaik untuk menggalas tugas itu memandangkan pengalaman luasnya sebagai Setiausaha Politik di peringkat persekutuan (Mei 2008 hingga Mei 2016) dan di negeri ini (mulai 2016 dan seterusnya), kelayakannya sebagai doktor haiwan terlatih dan sebagai ahli perniagaan.