TANJUNG MANIS: Teruskan usaha untuk membangun kawasan Tanjung manis dan sesuaikan dengan ekonomi baharu iaitu ekonomi berteraskan teknologi, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, kepayahan kawasan Tanjung Manis ialah masalah rangkaian internet dan yang diperlukan ialah komitmen dan kesungguhan semua pihak.
“Bagi merancakkan pembangunan ekonomi baharu ini, sudah tentu kita kita akan menambahbaik infrastuktur selain jalan raya termasuklah lapangan terbang.
“Landasan lapangan terbang Tanjung Manis akan dipanjangkan untuk (membolehkan) kapal terbang mendarat dan juga prasarana yang terbabit dengannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Tanjung Manis, di sini hari ini.
Abang Johari berkata, naik taraf lapangan terbang itu akan bermula tahun depan.
“Selain itu, di sini (Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Tanjung Manis) akan diletakan kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dengan kemudahan untuk menyimpan wang dan menggunakan wang termasuklah Sarawak Pay Global.
“Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) juga akan mempunyai pejabatnya disini. Ini bermakna kerajaan akan dekat dengan rakyat dan rakyat akan dekat dengan kerajaan.
“Sebab itu semua ahli Yang Berhormat (YB) yang memperjuangkan hak Sarawak mesti diberi kuasa dan jaminan untuk masa depan, termasuklah calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab,” katanya.
Abang Johari berkata, semalam ketika bersama Perdana Menteri dio Selangau, Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan supaya beliau tidak lupa untuk bekerjasama demi Malaysia.
“Saya jawab, insyaAllah apa yang dikehendaki oleh rakyat Sarawak ialah Kerajaan Pusat yang stabil dan boleh membangunkan negara Malaysia dan GPS dibelakang siapa yang boleh mewujudkan kerajaan yang stabil,” katanya.
Oleh EARL ANEK