TANJUNG MANIS: Tanjung Manis ini umpama ‘permata’ yang amat berharga dengan identiti dan potensinya sebagai pemangkin pembangunan di Lembah Rajang.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia juga umpama Pelabuhan Klang di Lembah Klang atau Kuala Lumpur.
“Ia merupakan aset yang sangat berharga bukan sahaja untuk warga Lembah Rajang malah untuk Wilayah Tengah Sarawak,” ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pentadbiran Sarawak Daerah Tanjung Manis, sebentar tadi.
Perasmian itu dilakukan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Len Talif berkata, kelebihan Tanjung Manis berpaksikan kepada lokasinya yang strategik sebagai sebuah pelabuhan laut dalam.
Ia sudah beroperasi lebih 100 tahun lalu sebagai tempat persinggahan kapal-kapal besar dari luar negara untuk aktiviti eksport produk dan barangan perkayuan dari lembah Rajang ke luar negara serta destinasi lain.
Beliau berkata, pembangunan Tanjung Manis adalah cetusan idea Yang Di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud apabila menyandang jawatan Ketua Menteri sebelum ini.
Katanya, Tun Pehin Sri Abdul Taib mengarah Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) untuk membuat kajian ‘Pelan Induk Pembangunan Perindustrian Perkayuan Lembah Rajang’ pada 1984.
Berikutan itu, PUSAKA melantik syarikat perundingan, H.A. Simons Juru Runding dari Kanada untuk membuat kajian itu.
Kemudian ia disusuli majlis pecah tanah Zon Perindustrian Tanjung Manis pada 11 Mac 1990 oleh Ketua Menteri ketika itu.
“Namun, sebelum majlis pecah tanah itu diadakan, perancangan awal pembangunan Tanjung Manis telah dilaksanakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian, yang dilantik pada 1987.
“Beliau tidak lain dan tidak bukan ialah Premier kita Abang Jo, sebelum projek ini diserahkan kepada PUSAKA untuk membangunkannya pada 1990.
“Ini bermakna, penglibatan Premier kita dalam membangunkan Tanjung Manis ini bukannya hanya bermula setelah beliau memimpin Sarawak.
“Setelah perancangan pecah tanah ini dari kawasan hutan bakau untuk dibangunkan dengan kelengkapan infrastrukutur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, klinik, sekolah, lapangan terbang, pelabuhan dan liputan internet,” katanya.
Len Talif berkata limpahan daripada pembangunan yang berlaku di Tanjung Manis ini dapat dirasai penduduk kampung dan bandar di Lembah Rajang keseluruhannya termasuk di Pulau Bruit, Sarikei dan kawasan sekitarnya.
Dalam pada itu, katanya, Pusat Pentadbiran Kerajaan di Tanbjung Manis setinggi 16 tingkat itu akan menempatkan kemudahan perbankan, perkhidmatan pos laju, kafeteria awam serta galeri, bilik-bilik mesyuarat bagi menyediakan ekosistem yang lengkap untuk semua penghuni pejabat agensi kerajaan dan swasta yang bakal menghuni di menara itu.
“Tingkat 12 Menara ini akan menempatkan Pusat Data sebagai penyediaan prasarana internet bagi menampung keperluan Digital Ekonomi oleh pelabur dan industri di T-MEGA.
“Ini merupakan prasarana tambahan di Tanjung Manis bagi membolehkan “Internet Of Things (IOT) ” digunakan oleh industri di T-MEGA ke arah industri 4.0 nanti.
“Justeru dengan beroperasi pusat pentadbiran pada tahun akan datang, ia akan menjadi pemudahcara kepada semua penyampaian perkhidmatan kepada rakyat kini boleh dilaksanakan dibawah satu bumbung atau Pusat Sehenti,” katanya.
Katanya, kemudahan itu sudah tentu akan menambahbaik lagi sistem penyampaian perkhidmatan kepada pemegang taruh dan rakyat di kawasan ini.
Oleh EARL ANEK